Tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Anwar Ibrahim sebagai ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan hal itu berikutan Perintah Pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 menyatakan bahawa Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.
“Sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang anggota Parlimen seharusnya melalui petisyen pilihan raya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” menurut AGC.
Kenyataan AGC itu adalah respons kepada laporan media berhubung tindakan saman yang difailkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy bagi mencabar kelayakan Anwar sebagai anggota Parlimen bagi kawasan Tambun dan pelantikannya sebagai Perdana Menteri.
AGC berkata asas kepada tindakan Waytha Moorthy tersebut adalah pengampunan yang telah diberikan kepada Anwar tidak mengandungi sebarang pembatalan terhadap kehilangan kelayakan Anwar di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
“Jabatan ini menghormati hak mana-mana individu untuk memfailkan tindakan di mahkamah. Dalam hal ini, Mahkamah Rayuan dalam kes Anwar Ibrahim v Mohd Khairul Azam Abdul Aziz [2023] 2 MLJ 545 telah memutuskan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengampunkan terhadap sabitan dan hukuman,” menurut kenyataan itu.
Pada 12 Ogos lepas, Waytha Moorthy memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.
Pengerusi Hindraf itu turut memohon perisytiharan bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 juga tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
-Bernama