Bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat dua hari lalu – yang mendakwa dirinya menyokong pemberian subsidi RON95 kepada warga asing – adalah tidak benar sama sekali.
Muhyiddin ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini mendesak Anwar menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf, sambil menegaskan bahawa dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Saya katakan mungkin sebagai sahabat, dia (Anwar) juga manusia biasa, cuma jawatan dia tinggi, saya pun pernah berada di situ.
“Jadi mungkin berlaku kesilapan. Jadi tak susah perdana menteri kata ‘Muhyiddin aku salah, minta maaf’, dia cakap begitu sahaja sudah selesai,” katanya.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut menyatakan akan merujuk Anwar (PH-Tambun) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Terdahulu, Anwar mengatakan Muhyiddin sebelum ini mempertahankan pemberian subsidi minyak kepada warga asing.
Bagaimanapun Muhyiddin menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai fitnah.
Susulan itu Anwar semalam mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan sama ada Muhyiddin pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh Anwar, mesti siasat dulu. Sebaliknya, apa yang beliau buat ialah mengarahkan SKMM supaya membuat siasatan. Saya pun tidak faham siapa yang disiasat, saya ke atau dia, dan apa yang nak disiasat,” katanya.
Muhyiddin turut memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa dia menerima surat daripada SKMM pagi tadi untuk hadir memberi keterangan.
“SKMM kata nak ambil keterangan saya sebagai saksi. Saya nak tanya, SKMM dah siasat perdana menteri? Saya rasa ini satu penyalahgunaan kuasa, pasal isu ini isu peribadi yang dibangkit oleh perdana menteri terhadap saya.
“Tapi dia arahkan SKMM untuk siasat. Saya rasa itu tak berapa kena. Lepas itu siasat saya dulu. Kan saya dah keluarkan kenyataan. Kalau SKMM jumpa saya pun saya akan beritahu apa yang saya kata dalam kenyataan saya sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul memaklumkan dia telah menerima surat daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mengesahkan SKMM telah diarahkan untuk memulakan siasatan.
“Saya terima surat yang telah pun mengarahkan SKMM menyiasat lebih lanjut tindakan, dari mana maklumat ini datang.
Sebab itu, insya-Allah kita tunggu. SKMM akan siasat dari mana portal ini datang. Mungkin ada portal (laporkan Muhyiddin pertahan subsidi kepada warga asing), mungkin (ada), saya tak tahu,” kata Johari.
Bagaimanapun, Muhyiddin membalas bahawa SKMM sepatutnya memulakan siasatan terhadap Anwar terlebih dahulu.
“Kenyataan itu datang daripada beliau (Anwar) sendiri. Kenapa tak suruh SKMM siasat sumber mana dia dapat itu. Yang pasti kenyataan Anwar memang satu fitnah. Kalau di Dewan Rakyat pun dia kata dia ada imuniti. Allah tak akan bagi imuniti. Sebab ini fitnah, hukumnya haram – dalam dewan pun haram, di luar pun haram,” tegasnya.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Alyaa Alhadjri, B Nantha Kumar