PAS melihat tiada keperluan untuk mengusulkan cadangan calon perdana menteri ke-11 pada muktamar kali ke-71 yang akan berlangsung minggu depan.
Timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata apa yang lebih penting adalah bagi membincangkan situasi bebanan kos hidup rakyat dan geografi politik serta tarif Amerika Syarikat ke atas negara.
“Pada pandangan saya tidak perlu (usul), bukan masa yang sesuai bicara soal siapa nak jadi perdana menteri.
“Lebih baik perkukuhkan PN, fokus menghadapi PRN Sabah dan isu-isu rakyat,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika ditanya sama ada partinya perlu mengemukakan usul itu pada Muktamar akan datang selepas Bersatu meluluskan usul sama.
Semalam, Bersatu dilaporkan meluluskan usul dengan menamakan presidennya Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11.
Terdahulu Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz sebagai reaksi terhadap respons kurang senang dengan tindakan Bersatu itu berkata, komponen PN lain boleh memilih untuk menamakan calon perdana menteri mereka sendiri.
Menurutnya, langkah Bersatu menamakan Muhyiddin bukan saja dibuat mengikut perlembagaan parti malah mengambil kira merit Ahli Parlimen Pagoh itu.
Tambahnya, Bersatu juga tidak pernah menyentuh atau menamakan sebarang pemimpin dari parti lain sebagai calon perdana menteri.
“Ini juga kerana Bersatu menghormati hak, suara dan pilihan ahli-ahli PAS, Gerakan dan MIPP (Parti Rakyat India Malaysia).
“Bersatu juga akan menghormati keputusan Perhimpunan Agung Gerakan dan MIPP atau Muktamar PAS kerana ia dibuat dalam platform mereka, oleh ahli mereka dan mengenai pemimpin mereka.
“Seperti Bersatu, angkatlah keputusan ini ke dalam Majlis Presiden PN dan putuskanlah secara konsensus di sana,” katanya.