Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli berkata Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 adalah baik, tetapi ia tidak sepatutnya diluluskan secara tergesa-gesa.
Kata Rafizi, pada masa ini, tiada undang-undang untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab ke atas pemerolehannya.
Jelasnya, sebarang pendakwaan mesti dilakukan di bawah Kanun Keseksaan atau akta SPRM.
“Tapi tak mudah nak buktikan (di bawah undang-undang itu). Jadi sebab itu, RUU perolehan ini, perlu untuk kita ada undang-undang yang khusus supaya kebertanggungjawaban itu jelas,” katanya malam tadi dalam episod terbaru podcast Yang Berhenti Menteri.
Tambahnya, konteks di sebalik keperluan undang-undang sebegitu telah gagal sampai kepada orang ramai kerana komunikasi kerajaan yang lemah.
Minggu lalu, ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas gagal menghalang rang undang-undang, yang diluluskan pada bacaan kali kedua melalui undian blok.
Tindakan melangkah keluar dewan itu berikutan ahli parlimen Perikatan Nasional menyatakan rasa tidak puas hati dengan rang undang-undang yang tidak melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai Kewangan dan Ekonomi.
Speaker Johari Abdul berkata PSSC mesti menulis kepada mana-mana kementerian yang ingin membentangkan rang undang-undang bahawa ia mesti merujuk cadangan itu kepada jawatankuasa berkenaan.
Mengulas perkara ini, Rafizi berkata dia bersimpati dengan PN.
“Saya faham kenapa dia (pembangkang) walkout hari tu dan saya pun tak bersetuju dengan speaker hari itu,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.
Dia bersetuju bahawa rang undang-undang itu sepatutnya dibawa ke PSSC sebelum bacaan kali kedua.
Tambahan pula, tambahnya, Kementerian Kewangan sepatutnya merancang RUU supaya ia tidak tergesa-gesa.
“Ini adalah rang undang-undang yang sangat penting untuk negara, untuk kita mengawal ketirisan, untuk mengekang kuasa menteri masa depan, perdana menteri, semua itu. Ia sangat penting.
“Kenapa bulldoze?” katanya.
Selain itu, dia berkata situasi itu menimbulkan persepsi bahawa speaker an kerajaan berselindung di sebalik teknikal.
Katanya, ini boleh menyebabkan orang hilang kepercayaan terhadap agenda reformis PKR dan Pakatan Harapan.
“Sebab mengapa – bila pembangkang sebelum ini – kita mahu PSSC adalah supaya kita tidak akan cop getah (dan) bulldoze (RUU),” tambahnya.
Pada 29 Ogos, gerakan reformasi Aliran menyatakan kebimbangan susulan kelulusan rang undang-undang itu yang disifatkan tergesa-gesa, memberi amaran bahawa kuasa meluas yang diserahkan kepada menteri kewangan dan ketua menteri negeri membawa risiko skandal seperti 1MDB berulang.
Aliran mengkritik kerajaan kerana meneruskan bacaan kali kedua dan mengundi hanya tiga hari sebelum Hari Kebangsaan, menyifatkan tindakan itu tidak wajar bagi pentadbiran yang berkuasa atas mesej antirasuah dan tadbir urus yang baik.
Kumpulan itu menegaskan bahawa kerajaan reformis yang tulen akan mengadakan perundingan yang meluas, pendengaran awam, dan memastikan ketelusan sebelum membentangkan rang undang-undang yang begitu meluas, termasuk meminta tapisan oleh jawatankuasa pilihan parlimen dan memberi masa yang mencukupi untuk perbahasan.