Tidak memadai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekadar untuk merayu denda oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berhubung “pemalsuan dokumen”, kata ketua whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan.
Tegas Takiyuddin, FAM mesti bertanggungjawab atas insiden itu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“PN juga menuntut agar siasatan bebas dan telus dijalankan segera, melibatkan bukan sahaja pihak dalam FAM, tetapi juga pihak berkuasa yang berkaitan.
“Jika terbukti ada individu tertentu yang bersalah, mereka mesti dikenakan tindakan sewajarnya tanpa kompromi,” katanya.
Awal hari ini, pemangku presiden FAM Yusoff Mahadi berkata pertubuhan itu akan membuat rayuan terhadap denda dan penggantungan yang dikenakan terhadap FAM serta tujuh pemain warisan oleh Fifa.
Malam tadi, Fifa mendedahkan bahawa ia telah mengenakan sekatan terhadap FAM dan tujuh pemain kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) mengenai pemalsuan dokumen.
Pemain terbabit – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano – turut dikenakan penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.
Tujuh pemain itu mewakili Malaysia menentang Vietnam untuk pusingan ketiga kelayakan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027 pada 10 Jun.
Mengulas lanjut, Takiyuddin meminta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memberi penjelasan.
Tambahnya, pembangkang melihat ia bukan sekadar isu teknikal tetapi pengkhianatan terhadap integriti sukan negara.
“Soalnya – siapa yang membenarkan dokumen palsu ini diproses? Apakah ada unsur kecuaian, atau lebih buruk lagi, unsur penipuan yang disengajakan?” soalnya.
Dia juga berkata bahawa insiden ini menunjukkan FAM hilang kawalan, lemah dalam pentadbiran, dan gagal memastikan setiap proses didokumenkan secara telus dan sah.
Fifa sebelum ini menjelaskan bahawa pihaknya menerima aduan berhubung kelayakan lima pemain selepas perlawanan Malaysia menentang Vietnam.
Selepas penilaian terhadap bukti yang dikemukakan, Fifa memutuskan FAM mesti membayar denda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta), manakala setiap tujuh pemain itu turut dikenakan denda 2,000 franc Swiss.
Langkah itu juga dilakukan walaupun Fifa sebelum ini memberi jaminan kepada semua pihak bahawa FAM tidak melanggar sebarang peraturan dalam proses pengambilan pemain warisannya dan semua prosedur dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya peraturan kelayakan.
Sebagai maklum balas, FAM berkata hari ini bahawa ia dan pemain terbabit telah bertindak dengan niat baik dan dengan ketelusan penuh sepanjang proses berkaitan.






