Biduanita Negara yang juga penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin tidak ‘koyak’ dengan kritikan warga maya terhadapnya berhubung isu Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jelas Siti Nurhaliza dia sudah matang dan tahu membezakan tempat untuk menyanyi secara berbayar mahupun percuma.

Menolak tanggapan dia merajuk, Siti Nurhaliza berkata nyanyian pada majis itu satu bakti buat negara sebagai menghargai orang ramai.
“Tak adalah (merajuk), perkara ini sudah biasa. Saya tetap Siti Nurhaliza dan sudah matang.
“Saya tahu persembahan bagaimana yang saya boleh menyanyi secara percuma atau berbayar.
“Saya tahu bila masanya saya perlu berbakti kepada negara dan buat persembahan untuk menghargai orang,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Siti Nurhaliza berkata demikian ditemui pada majlis Malam Gala dan Tayangan Perdana Filem Telaga Suriram, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali menyatakan rasa sedih apabila Siti Nurhaliza terpaksa memberi penjelasan berhubung persembahan di majlis hari raya anjuran kerajaan.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, dia khuatir jika penyanyi yang mesra disapa Tok Ti itu enggan membuat persembahan secara sukarela dalam acara lain selepas ini.
Ia susulan kecaman orang ramai terhadap persembahan beberapa artis popular, termasuk Siti Nurhaliza pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Rabu lalu.

Ini selepas ruangan komen Facebook Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menjadi sasaran netizen yang mempersoalkan perbelanjaan bagi membayar artis terbabit.
Sebelum ini Siti Nurhaliza berkata dia tidak menerima sebarang bayaran untuk menyanyi pada majlis tersebut dan berbuat demikian dengan rela hati bagi menyatakan penghargaan terhadap petugas kesihatan.