Malaysia Oversight

Tak boleh puas hati sekadar emas, perak Paris saja

By MkiniBM in September 2, 2025 – Reading time 5 minute
Tak boleh puas hati sekadar emas, perak Paris saja


ULASAN SUKAN | Rasanya kita semua masih dibuai mimpi indah selepas sejarah terpahat dalam kancah saingan Kejohanan Badminton Dunia di Paris pada malam Ahad lalu.

Nama Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (juara baru beregu campuran) dan Pearly Tan-M Thinaah (naib juara beregu wanita) menjadi tajuk utama berita selepas masing-masing melakar detik gemilang. Ia terus menjadi bahan perbualan hangat sehingga saat ini.

Babak bersejarah seperti itu harus disambut meriah, apatah lagi kejohanan tersebut dianggap hampir sama nilainya dengan Sukan Olimpik.

Sekalung tahniah buat dua pasangan terbabit atas pencapaian luar biasa mereka. Anda membuat rakyat Malaysia berasa amat bangga dan pingat berharga yang dimenangi hadir tepat ketika negara menyambutan Hari Kemerdekaan ke-68.

Semoga kejayaan itu menjadi inspirasi baru, bukan hanya kepada dua pasangan tersohor berkenaan, malah buat semua pemain negara untuk bangkit melakukan sesuatu yang tidak lagi mustahil.

Dalam final, Tang Jie-Ee Wei memperagakan aksi agresif dari mula sehingga akhir untuk menundukkan pilihan kedua dari , Jiang Zhen Bang-Wei Ya Zin, manakala Pearly-Thinaah memberi saingan sengit sehingga ke titisan keringat terakhir sebelum terpaksa akur kepada pasangan nombor satu dunia dari , Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Walaupun tiada habuan wang diterima sebagai juara dan naib juara di kejohanan prestij berkenaan, pemenang akan tetap menerima ganjaran lumayan dan berharga dalam bentuk mata ranking.

Selepas pulang bersama skuad negara dengan sambutan wira semalam, kedua-dua pasangan beregu terbabit harus ceria kerana ada perkhabaran bahawa hadiah wang besar menunggu mereka.

Sejarah beregu wanita pertama

Tang Jie-Ee Wei dijangka menerima RM500,000 – sama seperti apa dinikmati oleh pasangan beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik – yang muncul juara pada edisi 2022 di Tokyo.

Mengikut pecahannya, RM300,000 difahamkan adalah insentif daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), manakala RM100,000 lagi daripada penaja 100PLUS, dan baki RM100,000 daripada Yonex.

Jangan lupa insentif RM20,000 setiap seorang melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) juga dijangka diterima.

Kalau mahu ikutkan tradisi kita, ganjaran lain pasti akan datang secara berterusan dan mungkin pada akhir bulan ini mereka sudah pun menjadi jutawan.

Kocek Pearly-Thinaah juga dijangka kembung walaupun hanya memperoleh pingat perak.

Hal itu kerana mereka sebenarnya menjadi pasangan wanita pertama kita berjaya mara ke perlawanan akhir di kejohanan berprestij tersebut.

35b59984edb3df5e82cefb23f71a7b79

Misi mereka selepas ini ialah Terbuka Hong Kong yang bermula 9 sehingga 14 Sept ini. Namun, kehadiran mereka belum dapat dipastikan lagi andai faktor keletihan dan situasi fizikal masing-masing mencetus keraguan.

Harap-harap kegemilangan yang dilakar baru-baru ini akan memberi suntikan tonik mujarab kepada program BAM bagi mencari formula lebih ampuh untuk menakluki pentas dunia selepas ini.

Momentumbaik sekarang harus dimanfaatkan secara konsisten. Jangan biarkan semangat membara yang sedang menyala serta keyakinan diri yang terbina akhirnya hilang begitu sahaja.

BAM harus memastikan mentaliti juara berkekalan.

Presiden BAM, Tengku Zafrul Abdul Aziz, juga menyuarakan bahawa badan induk badminton negara itu berada di landasan tepat dengan blueprint baru yang dikenali Tangkis 2030.

Ini bermakna sasaran untuk mengintai peluang emas di Sukan Olimpik 2028 mungkin akan berada dalam radar BAM dalam tempoh berkenaan.

Kemajuan nampak memberangsangkan

Dengan kejayaan terbaru, gabungan tenaga dari semua pihak termasuk pemain, pihak pengurusan dan jurulatih serta unit sokongan boleh menjelmakan impian besar itu menjadi realiti.

Harapan kita ialah Tangkis 2030 bukan hanya sekadar kata-kata tetapi menjadi pegangan dan iltizam semua pihak untuk menjelmakan satu lagi mimpi indah.

Jika dilihat kebelakangan ini, kita juga bertuah memiliki barisan kejurulatihan cukup berpengalaman dan komited, khasnya dalam acara beregu. Maksudnya BAM memiliki kumpulan jurulatih penuh dedikasi yang sentiasa mendekati pemain dengan bimbingan yang menampakkan hasil.

Pengendali seperti Rexy Mainaky – yang juga pengurus pasukan skuad negara kali ini – bukan hanya hadir untuk mengerah pemain dengan latihan keras, malah lebih rapat dengan anak didiknya.

Dia mampu mendengar dan membaca isi hati serta keperluan mereka.

d352aa33cfadc180a877ea69758a7c29
Rexy Mainaky

Bekas juara dunia dan Olimpik acara beregu lelaki berasal dari Indonesia itu kerap menunjukkan sifat bersemangat membara dan cenderung melihat skuad Malaysia berterusan memburu gelaran di pentas terbesar dunia.

Sentuhan kemanusiaan dan sifat mahu melihat pemain berada di tempat teratas dunia perlu diterap sebaik-baiknya. Pendekatan sama juga sedang dilakukan oleh Herry Iman Pierngadi (ketua jurulatih beregu lelaki), Rozman Razak (beregu wanita) serta Nova Widianto (beregu campuran).

Kaedah latihan mereka juga membantu meningkatkan kualiti dan tahap permainan setiap atlet dan sekali gus menunjukkan kemajuan memberangsangkan secara perlahan-lahan.

Corak permainan menghiburkan

Beberapa pemain utama negara yang sebelum ini sering rasa tekanan di gelanggang, kini berkomunikasi lebih baik dan sering tersenyum sesama rakan mereka untuk kembali tenang.

Ini nampak semacam babak awal yang betul dalam misi memburu beberapa kejuaraan besar lagi.

Memang macam tak percaya tapi itulah realitinya. Skuad badminton negara pulang dengan meraih satu emas dan satu perak untuk melakar pencapaian terbaik di kejohanan itu sejak 1977.

Aksi pemain kita di bumi Perancis menyaksikan skuad negara muncul naib juara dari segi jumlah keseluruhan pungutan pingat berbanding . Kita menggenggam pingat dua daripada lima kategori yang dipertandingkan manakala China memiliki dua emas, tiga perak dan satu gangsa.

Jepun dan Korea adalah dua lagi pasukan yang berjaya meraih emas.

21d3ef56b298a200abc433fa912ce5f8

Gelaran juara acara perseorangan lelaki menjadi milik Shi Yi Qi yang menewaskan jaguh Thailand dan bekas juara, Kunlavut Vitidsarn (Thailand) manakala Akane Yamaguchi (Jepun) mengungguli acara perseorangan wanita menewaskan juara Olimpik, Chen Yu Fei (China).

Mahkota beregu lelaki pula menjadi milik pasangan pemain nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, yang menewaskan Chen Bo Yang-Liu Yi (China).

Namun, pemain yang paling mencuri tumpuan di Paris kali ini ialah Victor Lai dari Kanada. Pelajar universiti itu – yang berada pada ranking ke-80 dunia – nyaris mengejutkan Yi Qi dalam saingan separuh akhir.

Perlu banyak bersabar

Lai melakukannya dengan corak permainan menghiburkan sehingga kerap memerangkap langkah lawan.

Dalam suku akhir, pemain berasal dari Markham, Ontario itu menunjukkan taringnya apabila membuat kejutan terbesar menumbangkan juara 2021, Loh Kean Yew dari Singapura.

Mungkin pemain perseorangan negara kita boleh mencontohi komitmen serta semangat juang tinggi dipamerkan pemain berusia 20 tahun itut yang menghadiahkan pingat pertama kepada Kanada.

92fbfa859a675eddd7e3b60c6db96c70
Victor Lai

Lai meraih gangsa secara automatik selepas layak ke kelompok empat terakhir.

BAM jelas ada tugasan besar untuk mencari ilham mengangkat semula martabat kita dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.

Sektor ini nampak macam sudah tenggelam. Usah terlalu mengharapkan sentuhan Lee Zii Jia sahaja. Carilah pemain barisan baru yang lebih muda dan ggilap bakat mereka dengan ramuan yang lebih ampuh.

Mohon maaf, setakat ini penulis belum melihat ada seorang pemain yang menyamai ikon badminton negara, Lee Chong Wei, akan muncul secara tiba-tiba.

Ia pasti akan mengambil masa dan BAM nampaknya perlu bersabar. Peminat tanah air juga perlu bersabar.

Buat masa ini, tidak salah kalau pelaburan yang lebih besar disalurkan kepada acara beregu kerana ia memang nampak berbaloi.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link