Suria KLCC mempertahankan tindakan anggota keselamatannya susulan dakwaan bahawa peserta perhimpunan pro-Palestin dihalang memasuki pusat beli-belah itu selepas satu protes diadakan sebelum itu.
Merujuk sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan pertelingkahan antara anggota keselamatan dengan aktivis Tian Chua, pihak pengurusan beli belah itu menjelaskan anggota keselamatan mereka bertindak “selaras dengan prosedur keselamatan”.
“Insiden tersebut berlaku apabila seorang pengunjung diminta untuk tidak membawa masuk sebatang kayu panjang ke dalam pusat beli-belah. Tindakan ini adalah selaras dengan prosedur keselamatan kami yang melarang barangan yang berpotensi mendatangkan risiko keselamatan atau mengganggu keselesaan para pengunjung.
“Kami ingin menegaskan bahawa ini adalah langkah keselamatan piawai yang dikenakan kepada semua pengunjung, dan kami ingin meyakinkan orang ramai bahawa tindakan kami tidak didasari oleh sebarang pendirian politik,” katanya.
Suria KLCC juga menegaskan keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa menjadi keutamaan mereka.
“Justeru, kami amat menghargai kerjasama serta pemahaman orang ramai dalam usaha kami untuk mengekalkan persekitaran yang selamat dan teratur untuk semua,” jelasnya lagi.

Terdahulu, bekas ahli parlimen PKR, Tian Chua, memberitahu Malaysiakini bahawa peserta perhimpunan pro-Palestin semalam dihalang memasuki Suria KLCC selepas bersurai daripada himpunan di Kuala Lumpur.
Dia mendakwa pihak keselamatan menyasarkan mereka yang membawa bendera Palestin dan berpakaian berunsur Palestin, sedangkan peserta terbabit tidak berniat untuk mengadakan protes di dalam pusat beli-belah berkenaan. Mereka juga diberitahu bahawa pemakaian keffiyeh atau skaf Palestin tidak dibenarkan oleh pengawal keselamatan.
“(Pengawal itu) mengganggu peserta himpunan. Malaysia tidak pernah mengharamkan sebarang simbol berkaitan Palestin, jadi bagaimana mereka boleh menghalang orang daripada masuk hanya kerana skaf mereka?” soal Tian Chua.
Menegaskan bahawa pusat beli-belah adalah “ruang awam yang dikawal selia”, bekas naib presiden PKR itu berkata dia bertindak untuk campur tangan apabila seorang pengawal keselamatan cuba merampas bendera Palestin daripada seorang peserta wanita.
Dalam rakaman video di Instagram, Tian Chua, 61, dilihat bertengkar dengan pengawal keselamatan di dalam pusat beli-belah. Kedengaran suara mengatakan dia perlu dibawa keluar kerana membawa “kayu”, merujuk kepada tiang bendera.
Protes semalam diadakan bagi membantah lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean 2025.
Terdahulu, sekumpulan 23 NGO menggesa kerajaan membatalkan lawatan itu dengan menegaskan peranan Amerika Syarikat dalam genosid Israel terhadap Palestin bercanggah dengan pendirian moral Malaysia berhubung “malapetaka kemanusiaan” di Gaza.