Ahli akademik Tajuddin Rasdi terus lantang mengkritik aksi retorik perkauman Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh tapi kali ini dia melontarkan penilaian yang mengharukan.
“Malangnya, saya telah menyaksikan (makna) Merdeka kita hampir mati.
“Saya menyaksikan parti-parti berasaskan Melayu mempertembungkan satu kaum dengan kaum lain atas nama mempertahankan kesucian bendera,” katanya kepada Malaysiakini.
Mengulas bantahan di hadapan sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang petang tadi, profesor seni bina itu tidak berlapik, mengecam peserta Pemuda Umno dan Pemuda Bersatu sebagai tidak lebih daripada “samseng”.

Walaupun Akmal cuba membungkusnya sebagai patriotisme, bagi Tajuddin ia hanyalah provokasi perkauman.
“Buktinya jelas. Kumpulan samseng ini tidak hadir pada kesilapan bendera di tempat ‘Melayu’ lain tetapi hanya di tempat milik kaum lain.
“Pengakuan mereka sebagai rakyat Malaysia kosong apabila mereka menuduh secara terbuka bahawa kesilapan bendera oleh kaum lain tidak mungkin satu kemalangan tetapi disengajakan,” tambahnya.
Tajuddin turut menyindir tuntutan para penunjuk perasaan supaya pemilik kedai itu didakwa, sedangkan individu tersebut – yang dikecam selepas dirakam dengan bendera negara terbalik – sudah menjelaskan ia tidak disengajakan dan memohon maaf.

“Mereka ini bukan datang untuk menuntut keadilan tetapi hanya mahu membakar permusuhan kaum demi keuntungan politik sendiri,” katanya.
Hanya LFL bersuara
Dia menzahirkan rasa hormat kepada Lawyers for Liberty (LFL) dan pengarahnya, Zaid Malek kerana mempertahankan kedai itu semasa demonstrasi, sambil kesal dengan sikap membisu pihak lain.
“Kesunyian ini memekakkan telinga. Ketika negara memerlukan pemimpin Melayu berwibawa untuk bangkit, sebuah NGO pula yang berdiri menentang ahli politik jahil yang menebar kebencian dan perpecahan.
“Bagi saya, tiada Merdeka tahun ini, hanya bayang-bayang malu dan kesedihan.

“Terima kasih, Zaid dan LFL kerana menjadi satu-satunya sinar tipis makna sebenar patriotisme dan keberanian untuk memberi harapan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya lagi.