Malaysia Oversight

Taikun balak dan media Tiong Hew King meninggal dunia

By MkiniBM in November 11, 2025 – Reading time 2 minute
Taikun balak dan media Tiong Hew King meninggal dunia


Tiong Hew King, pengerusi eksekutif Kumpulan Rimbunan Hijau dan pengerusi kehormat Media Chinese International Limited (MCIL) — syarikat induk kepada Sin Chew Media — dilaporkan meninggal dunia pada usia 91 tahun.

Dilahirkan pada 18 Mac 1934, dengan asal-usul keluarga dari Wilayah Fujian, , Tiong bersama adik-beradiknya menubuhkan Rimbunan Hijau Group pada tahun 1975.

Di bawah kepimpinannya, konglomerat itu berkembang menjadi antara syarikat gergasi global dengan pelaburan meliputi perhutanan, perladangan sawit, minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi, hospitaliti, pembuatan dan pelbagai sektor lain.

Tiong juga merupakan tokoh berpengaruh dalam dunia media. Pada tahun 1988, mendiang membeli akhbar Sin Chew Daily, yang ketika itu diambil alih oleh United Overseas Bank (UOB) selepas berdepan masalah kewangan dan digantung penerbitannya semasa tempoh “Operasi Lalang”.

Pada 2006, Tiong memperluas empayar medianya dengan mengambil alih Nanyang Siang Pau dan Press daripada MCA, sekali gus memperoleh kawalan terhadap empat akhbar utama berbahasa Cina di Malaysia — termasuk Sin Chew Daily dan Guang Ming Daily — serta menjadikannya peneraju utama media berbahasa Cina di Semenanjung Malaysia.

Langkah pengambilalihan itu berlaku selepas tindakan kontroversi pada 2001, apabila Huaren Holdings milik MCA membeli Nanyang Press Holdings, yang mencetuskan bantahan daripada wartawan dan masyarakat Cina kerana dikhuatiri akan menjejaskan kebebasan editorial.

Pengaruh Tiong dalam dunia media turut melangkaui sempadan Malaysia. Dia mengembangkan operasinya ke Indonesia, Tanah Besar , Hong Kong, Papua New Guinea, dan Amerika Syarikat, termasuk menubuhkan akhbar berbahasa Inggeris The National di Papua New Guinea.

Pada 2008, kumpulan Sin Chew Media bergabung dengan Ming Pao Media dan Nanyang Press bagi membentuk Media Chinese International Limited (MCIL) — kumpulan media berbahasa Cina luar negara terbesar di dunia.

Selain kejayaan korporatnya, Tiong juga dikenali sebagai pemimpin komuniti yang komited, pernah berkhidmat sebagai presiden pengasas Persatuan Sepuluh Daerah Fuzhou serta Persatuan Klan Zhang Sedunia, yang menghubungkan komuniti Fuzhou dan Zhang di seluruh dunia.



Source link