Malaysia Oversight

‘Tahniah, dah jumpa dompet?’ – Bersatu Sabah sindir speaker DUN

By MkiniBM in October 3, 2025 – Reading time 2 minute
'Tahniah, dah jumpa dompet?' - Bersatu Sabah sindir speaker DUN


Pemimpin Bersatu Sabah menyindir Speaker Dewan Undangan Negeri Kadzim Yahya – yang baru dilantik semula untuk penggal kedua – dengan membangkitkan dakwaan rasuah terhadapnya.

“Adakah dompet tersebut pernah ditemui semula? Apakah jenama dan reka bentuk dompet yang mampu menampung nilai sebegitu besar dalam bentuk tunai?

“Atau mungkinkah ia sekadar alasan yang direka untuk meredakan kemarahan rakyat?” kata ketua pemuda negeri, Hisyam Hazaril.

Sindiran itu merujuk kepada mesej WhatsApp yang didedahkan oleh ahli perniagaan Albert Tei, dikaitkan dengan skandal perlombongan, dengan Kadzim didakwa meminta pendahuluan RM50,000 dengan alasan dompetnya hilang.

Tei seterusnya mengeluarkan video perbualannya yang dikatakan Kadzim mengenai rasuah RM350,000, sambil turut mendakwa dia telah menuntut RM3 juta dan 50 peratus kepentingan dalam salah satu syarikat yang bersaing untuk mendapatkan lesen cari gali mineral.

Kadzim menafikan dakwaan itu dan menegaskan RM50,000 adalah permintaan pinjaman, bukan pendahuluan.

Mengucapkan “tahniah” kepada Kadzim, yang kini akan berkhidmat sehingga 2030, Hisyam berkata pelantikan semula itu tidak terlepas daripada perhatian rakyat Sabah.

“Fenomena ini menimbulkan persoalan yang besar, bagaimana mungkin seorang individu yang pernah terpalit dengan dakwaan serius berkaitan rasuah masih diberi mandat untuk mengemudi institusi tertinggi legislatif negeri?

“Apakah nilai integriti, kewibawaan, serta maruah Dewan mampu terpelihara di bawah pimpinan sedemikian?” soalnya.

Hisyam berkata insiden ini seolah-olah menjadi satu contoh baru dalam politik Sabah bahawa jika seseorang ditangkap atau dikaitkan dengan menerima wang, ia boleh ditafsirkan sebagai “pinjaman” untuk mengelak tindakan selanjutnya.

“Apakah ini mesej yang baik diwariskan kepada generasi akan datang tentang erti integriti seorang pemimpin?” soalnya lagi.

Tegasnya, sudah tiba masanya untuk mengkaji semula proses pelantikan speaker supaya ia lebih sejajar dengan semangat demokrasi moden.

“Amalan yang membenarkan lantikan daripada luar kalangan ahli dewan dilihat tidak lagi relevan dan perlu diperhalusi semula.

“Bukankah lebih wajar sekiranya speaker dipilih oleh kalangan ahli Dewan Undangan Negeri itu sendiri, yang lebih memahami denyut nadi rakyat dan tanggungjawab legislatif?” tambahnya.

Hisyam turut mempersoalkan sama ada imej DUN boleh dipelihara sekiranya prosidingnya dipengerusikan oleh seseorang yang sedang disiasat atau berdepan kemungkinan pendakwaan.

“Adakah pelantikan sedemikian akan mengangkat maruah negeri atau sebaliknya hanya mengundang rasa malu dan penghinaan kepada rakyat Sabah di mata negara?” soalnya.

Kadzim menerima surat cara pelantikan daripada Tuan Yang Terutama Negeri Sabah Musa Aman di Istana Seri Kinabalu semalam.

Sejak November lalu, Tei telah mengaitkan lebih sedozen ahli politik dari kalangan parti pemerintah negeri, termasuk anggota kanan kabinet negeri, dalam skandal perlombongan.

Dia juga telah menyerahkan video dan dokumen kepada SPRM berjumlah lebih 300 muka surat.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya dua , bersama-sama Tei, telah didakwa, manakala nasib yang lain masih tidak jelas, menyebabkan pengkritik mendakwa kemungkinan terdapat usaha melindungi pihak yang terbabit.



Source link