Malaysia Oversight

Tahanan mati di lokap akibat perbuatan orang lain

By MkiniBM in August 1, 2025 – Reading time 2 minute
Tahanan mati di lokap akibat perbuatan orang lain


Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini memutuskan bahawa kematian seorang pekerja sambilan, G Jestus Kevin, semasa dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong berpunca daripada perbuatan orang lain.

“Saya mengisytiharkan kematian adalah disebabkan perbuatan orang lain dalam kematian si mati,” kata Koroner Salina Saiful.

Dalam keputusan inkuesnya juga, Salina menyatakan lelaki berusia 30 tahun itu meninggal dunia pada 5 April 2020, jam 1.05 pagi ketika masih dalam tahanan.

Jestus telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan berkaitan kes kecurian.

Mahkamah mendapati Jestus tidak sedarkan diri dan mengalami kesukaran bernafas sebelum dikeluarkan dari lokap.

“Punca kematian adalah konsisten dengan meningoensefalitis bersama pelbagai kecederaan tumpul, kardiomiopati, dan steatosis hati,” kata Salina.

Meningoensefalitis merujuk kepada radang otak dan tisu di sekelilingnya manakala dua lagi punca kematian merupakan masalah kesihatan sedia ada – penyakit jantung dan hati berlemak.

Koroner mendapati si mati tidak diawasi dengan baik semasa dalam tahanan dan pihak polis gagal membawanya ke hospital walaupun menyedari tingkah laku yang luar biasa serta keadaan emosi yang tidak stabil.

Dia turut mencatatkan Jestus diletakkan bersama dua tahanan lain di dalam sel, yang memburukkan lagi keadaannya.

“Si mati telah dikenakan kekerasan fizikal semasa dalam sel tersebut dan semasa dalam pengawasan pihak balai.

“Kekerasan fizikal tersebut telah menambahkan kesan mudarat kepada si mati yang mana disahkan ada kesan “blunt force trauma” pada si mati.

“Akhirnya, si mati dibiarkan tanpa apa-apa rawatan dan tindakan lanjut sama ada bagi keadaan emosi yang tidak stabil tersebut mahupun menghentikan perbuatan kekerasan fizikal dari mana-mana pihak terlibat,” katanya.

Salina menyatakan sekiranya diberi perhatian sewajarnya, penyakit meningitis serta kecederaan si mati mungkin boleh dikesan dan dirawat.

Rumus koroner, kematian tersebut boleh dielakkan.

“Persoalan tentang siapa orang yang telah menyebabkan kematian si mati adalah terang daripada keterangan yang ada. Ia adalah disebabkan oleh perbuatan orang lain,” katanya.

Inkues yang bermula pada 2020 itu memanggil 16 orang saksi dan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azizah Ahmad, manakala peguam M Visvanathan dan V Sanjay Nathan mewakili keluarga si mati.

Pada 2023, portal dalam talian Free Malaysia Today melaporkan bahawa bapa Jestus, A Ganaprakasam, telah memfailkan saman kecuaian terhadap pihak polis dan berhubung kematian anaknya.

Ganaprakasam dilaporkan menamakan 13 anggota polis, ketua polis daerah Bentong, ketua polis negara, dan sebagai defendan.

Dia turut menamakan dua banduan, Shaiful Zakaria dan Azril Yusof, yang didakwa terlibat dalam kematian Jestus.

[Baca berita asal]



Source link