JERANTUT: Tabung Khairat Peneroka (KPP) Felda Wilayah Jengka terus memainkan peranan penting dalam meringankan beban peneroka yang berdepan musibah termasuk kebakaran rumah, kematian pasangan dan bencana alam.
Pengarah Felda Wilayah Jengka, Mohd. Tarmizi Lee berkata, sejak diwujudkan, tabung itu sudah menyalurkan bantuan kepada penerima manfaat dalam tempoh dua tahun lalu.
“Bagi kes rumah kebakaran, bantuan boleh mencecah sehingga RM40,000 manakala kematian pasangan, waris menerima RM3,000 walaupun tanpa caruman. Program ini dijalankan atas dasar kebajikan untuk membantu sesama warga,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan cek Tabung Kebajikan Kecemasan Peneroka (TKKP) di Felda Jengka 8 di sini.
Mohd. Tarmizi menjelaskan, selain itu terdapat juga Tabung Amal Mesra dengan caruman hanya RM10 setahun bagi setiap peserta, yang menyediakan bantuan kecil seperti RM100 kepada mangsa banjir atau ribut.
Beliau dalam pada itu menyeru lebih ramai warga peneroka menyertai skim caruman tersebut kerana sumbangan kecil setiap bulan mampu memberi kesan besar apabila ditimpa ujian.
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, masih ramai warga peneroka belum mencarum dengan tabung itu sedangkan manfaatnya besar.
“Daripada lebih 15,000 warga di wilayah ini, 3,900 belum mencarum. Ramai beranggapan mereka tidak perlu kerana belum pernah ditimpa musibah. Tetapi konsep tabung ini ialah kebajikan, membantu orang lain dalam kesusahan,” katanya.
Ketua Peneroka Wilayah Jengka, Ariffin Wahab, pula menegaskan tabung berkenaan berjaya menyantuni ratusan keluarga peneroka yang kehilangan ahli keluarga atau rumah akibat bencana sejak 2021. – UTUSAN