Malaysia Oversight

T20 kini beralih ke hospital kerajaan akibat kenaikan kos insurans

By MkiniBM in September 8, 2025 – Reading time 2 minute
T20 kini beralih ke hospital kerajaan akibat kenaikan kos insurans


Ahli Parlimen , Sim Tze Tzin menggesa supaya kawal selia yang lebih rapi terhadap skim insurans berkaitan pelaburan (investment-linked insurance), yang menurutnya meningkatkan kos dalam sektor kesihatan swasta dan menyebabkan golongan berada mendapatkan rawatan di hospital .

Pada sidang media di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Bayan Baru itu mengulas kenyataan Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Harikrishna KR Nair, bahawa hospital kini menjadi tumpuan golongan T20, khususnya apabila kos rawatan perubatan melebihi had insurans mereka.

“Kenaikan kos perubatan swasta dan kenaikan premium insurance telah terbukti menjejaskan hospital awam. Keadaan ini amat membimbangkan.

“Pelanggan insurans kesihatan yang membeli pelan investment-linked dengan ‘rider’ sehingga umur 100 tahun, berdepan dengan pemotongan tempoh perlindungan secara mendadak.

“Mereka diminta membayar bayaran tambahan (top-up) dalam jumlah yang besar. Ini telah membebankan pencarum terutamanya pencarum pesara,“ kata Sim.

Menurutnya, masalah ini berpunca daripada unjuran keuntungan produk investment link yang terlalu optimistik oleh syarikat insurans ketika menjual polisi.

“Banyak pelan ditawarkan dengan andaian pulangan sehingga 9 peratus setahun selama 20 tahun berturut-turut. Realitinya, pulangan sebenar jauh lebih rendah daripada unjuran, menyebabkan nilai dana tidak mencukupi untuk menampung kos perlindungan. Akibatnya, syarikat insurans memendekkan tempoh perlindungan mereka secara drastik.

“Ini bermaksud apabila mereka bersara pada usia 60-an dan sangat memerlukan perlindungan perubatan, mereka akan “ditinggalkan” oleh syarikat insurans,” katanya.

Menurut Sim, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad turut menjelaskan bahawa kenaikan premium insurans kesihatan adalah faktor utama yang mendorong semakin ramai golongan T20 mendapatkan rawatan di hospital awam.

Semalam, Berita Harian melaporkan Dr Harikrishna berkata, perkhidmatan HKL kini bukan lagi hanya ditujukan kepada pesakit berpendapatan rendah, sebaliknya semakin ramai golongan kaya (T20) dan juga VIP hadir untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, peningkatan ini menggambarkan keyakinan mereka terhadap kepakaran hospital tersebut.

2a7233d3a013d651805f0271b305b9ec

Dr Harikrishna berkata, peningkatan pesakit kategori ‘kaya dan kenamaan’ itu juga berlaku selepas mereka dipindahkan daripada pusat perubatan swasta berikutan perlindungan insurans masing-masing tidak lagi boleh menampung kos rawatan perubatan kerana melebihi had.

Menurutnya lagi, trend itu dilihat berlaku sejak 10 tahun kebelakangan ini disebabkan peningkatan kos ubat-ubatan.

Mengulas lanjut, Sim berkata Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan pekeliling pada Julai 2019 untuk mengawalselia produk investment link berkenaan, namun masalah berlaku kepada pencarum yang membeli insurans sebelum 2019.

“Maka saya memohon BNM mencari penyelesaian kepada kes-kes sebelum 2019.

“Dalam Seksyen 155(b) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), Bank negara perlu mengeluarkan arahan jika syarikat menjalankan perniagaan dengan cara yang memudaratkan kepentingan pendeposit, pemunya polisi, peserta, pengguna, pemiutang atau orang awam secara am,” tegasnya.

Menurutnya, satu mekanisme yang telus perlu dibentuk supaya rakyat tidak mengalami kejutan apabila premium insurans mereka naik mendadak, atau tempoh perlindungan dipotong dengan drastik.

“Jika dibiarkan masalah yang didedahkan oleh Menteri Kesihatan dan Pengarah HKL iaitu golongan pesara atau T20 akan beralih dari hospital swasta ke hospital awam akan terus berlaku,” katanya.



Source link