Synology BeeStation Plus Diperkenalkan Dengan Pilihan Storan 8TB
May 26, 2025
•
Nazrin
Selain daripada mengumumkan pelancaran solusi storan Synology PAS7700 sewaktu acara Computex Taipei, Synology juga telah mengumumkan penawaran terbaru siri storan NAS pengguna mereka, iaitu Synology BeeStation Plus.
Storan NAS Synology BeeStation sebelum ini memperlihatkan penawaran storan 1TB ke 4TB. Dengan penawaran Synology BeeStation Plus terbaru ini, jumlah storan terbaru produk ini adalah setinggi 8TB terbina.

Dari segi rekaan, ia dilihat mempunyai rekaan Synology BeeStation yang sama seperti sebelum ini. Ia juga hadir dengan dua palam USB, termasuklah satu palam USB 3.2 Type-A dan satu palam USB 3.2 Type-C, satu palam RJ-45 yang menyokong sambungan internet berwaya 1GbE.
Dari segi sokongan perisian pula, anda boleh mengakses NAS ini menggunakan pelayar web dengan memasukkan alamat IP NAS ini apabila ia disambungkan ke rangkaian internet, ataupun anda boleh menggunakan perisian BeeStation for Desktop untuk komputer, ataupun aplikasi BeePhotos dan BeeFiles untuk sistem operasi Android dan iOS apabila anda mahu mengaksesnya.
BeeStation Plus juga hadir dengan sokongan untuk perisian penstriman video Plex secara terbina, jadi jika anda seorang yang banyak menyimpan video dan mahukan satu cara mudah untuk mengaksesnya, anda boleh menggunakan storan NAS ini sebagai “mesin pelayan” untuk mengakses kandungan anda dengan cepat dan mudah.
Synology mengatakan bahawa storan NAS BeeStation Plus ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran global, tetapi untuk pasaran tempatan, kita nampaknya akan perlu menunggu seketika lagi.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.