Anggota Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid mendakwa menjadi mangsa serangan peribadi terancang.
Katanya, serangan itu dilancarkan melalui tiga akaun TikTok.
Syerleena mendakwa sejak kebelakangan itu, akaun-akaun itu menyebarkan video fitnah, penyelewengan fakta, serta naratif kebencian yang ditujukan kepadanya sebagai seorang anggota parlimen wanita dan Muslim.
“Video-video ini bukan semata-mata kritikan biasa atau komentar politik.
“Ia telah melampaui satu garis penting yang sepatutnya difahami oleh setiap rakyat Malaysia yang bertanggungjawab: garis antara kebebasan bersuara dan hasutan kebencian serta keganasan yang disengajakan,” katanya.
Antara video dipertikai adalah satu rakaman yang mencaci maki Syerleena kerana mengulas berkaitan potensi tapak pelancongan tua di Lembah Bujang, Kedah, yang terkenal dengan candi-candi purba Hindu-Buddha.
Selain itu terdapat satu lagi video mendakwa Syerleena pilih kasih kerana mengecam sebuah syarikat pizza kerana mengeluarkan kotak yang menampilkan imej Dewa Murugan, yang dihormati dalam agama Hindu.
Dua laporan polis berasingan dibuat oleh pembantu Syerleena di balai polis Timur Laut, Pulau Pinang terhadap kandungan TikTok itu semalam.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Syerleena berkata video-video ini bukan dibuat untuk menyebarkan maklumat yang membina, tetapi untuk memprovokasi.
Katanya, ia memesongkan kata-katanya, memutarbelitkan niat, serta mencipta dakwaan palsu yang tidak mempunyai asas.
“Lebih berbahaya, ia memperalatkan sentimen agama dan stereotaip gender untuk menghilangkan kemanusiaan saya di mata penonton.
“Ini bukan sahaja serangan terhadap peribadi saya; ini adalah serangan terhadap nilai adab, kesopanan, dan rasa hormat yang selama ini menjadi pegangan rakyat Malaysia.
“Saya mengecam video-video ini sekeras-kerasnya,” katanya.
Katanya, dia terbuka kepada perbahasan jujur dan proses akauntabiliti.
Namun, dakwanya, apa yang berlaku di platform-platform ini bukanlah kritikan tetapi serangan peribadi yang sengaja dihasilkan untuk mengapi-apikan kebencian.
Selain itu, dia berkata syarikat media sosial juga tidak boleh lepas tangan atau sambil lewa daripada “bahaya yang terhasil akibat algoritma mereka”.
“Saya menggesa platform-platform ini bertindak tegas: hapuskan kandungan yang melanggar garis panduan, gantung akaun yang berulang kali melakukan gangguan terancang, dan tingkatkan moderasi kandungan di Malaysia, khususnya yang melibatkan maklumat politik,” katanya.





