Syarikat Jepun Memperkenalkan Pemain Kaset Audio Retro Dengan Teknologi Moden
June 30, 2025
•
Nazrin
Anda mungkin tidak mengenali jenama produk elektronik Maxell, yang berasal dari Jepun, tetapi syarikat tersebut baru-baru ini telah memperkenalkan pemain kaset mudah-alih yang menyerupai Sony Walkman yang diperkenalkan lebih 40 tahun yang lalu.
Pemain kaset ini dinamakan Maxell MXCP-P100, dan seperti yang kami katakan, ia memainkan kaset-kaset audio, sama seperti apa yang dipopularkan oleh pemain kaset seperti Sony Walkman. Cuma perbezaan utamanya ialah peranti yang diperkenalkan oleh Maxell ini juga hadir dengan beberapa ciri-ciri moden.

Pertama ialah ia hadir dengan sokongan untuk sambungan nirwayar Bluetooth 5.4 yang membolehkan anda untuk menyambungkan fon telinga atau kepala nirwayar anda kepada peranti ini untuk mendengar lagu-lagu yang dimainkan. Jika anda mahu mengembalikan era retro dengan fon telinga berwayar, pemain ini juga mengekalkan sambungan 3.5mm untuk anda.

Jika pemain kaset mudah-ailh zaman dahulu dikuasakan dengan bateri AA yang perlu ditukar setiap masa, Maxell mengatakan bahawa bateri didalam pemain kaset mereka boleh dicas melalui sambungan USB, dan dengan satu pengecasan penuh, ia boleh bertahan selama 9 jam apabila disambungkan ke fon telinga berwayar, dan sehingga 7 jam melalui fon telinga Bluetooth.

Pemain Maxell MXP-P100 juga mempunyai rekaan yang padat dan ringan. Dengan saiz dimensi 122 x 91 x 38mm dan berat 210g, menjadikannya sebuah peranti audio yang mudah dibawa kemana-mana, walaupun didalam poket anda.
Maxell telah mula menjual pemain kaset MXP-P100 ini di Jepun pada harga 13,000 yen (~RM380) di Jepun, tetapi beberapa laporan telah mengatakan bahawa kerana populariti pemain audio retro yang semakin popular di negara tersebut, produk ini nampaknya telah habis dijual buat masa ini.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.