Syarikat Di Jepun Melonggarkan Garis Panduan Pakaian dan Perhiasan Untuk Menarik Pekerja
Effi Saharudin
Tahukah anda terdapat lebih banyak individu berusia 60 tahun dan ke atas di Jepun berbanding jumlah seluruh penduduk di Malaysia. Kurangnya kadar kelahiran dan usia penduduk yang panjang menyebabkan Jepun mempunyai masalah kekurangan buruh. Antara penyelesaian yang telah diambil dan telah kami kupas di Amanz ialah pengenalan robot yang dikawal secara jarak jauh pekerja di Filipina.
Terkini Reuters melaporkan selain meningkatkan penggunaan automasi, syarikat di Jepun mula melonggarkan syarat pemakaian dan perhiasan yang boleh dipakai oleh kakitangan. Dahulu kakitangan diharamkan mewarnakan rambut selain hitam dan coklat supaya mereka menampilkan imej lebih profesional. Kini semakin banyak syarikat membenarkan kakitangan mewarnakan rambut mengikut kehendak peribadi.

Perubahan lain yang dilakukan ialah tiada lagi halangan mewarnakan kuku, pemakaian cincin (sebelum ini hanya cincin perkahwinan dibenarkan) dan kakitangan juga boleh mengenakan solekan yang tebal mengikut trend semasa.
Pemakaian uniform juga tidak lagi diwajibkan begitu juga dengan tali leher serta jaket. Usaha ini dimulakan beberapa tahun lalu sebagai langkah mengurangkan penggunaan tenaga elektrik di musim panas dengan menggalakkan pakaian kasual. Selain itu hari bekerja 4 hari seminggu juga diperkenalkan untuk wanita berumahtangga tahun lalu.
Sungguhpun pendekatan yang lebih santai ini adalah untuk jangka masa pendek. Kadar kelahiran bayi untuk setiap wanita di Jepun ialah 1.2 yang jauh di bawah keperluan 2.0 untuk mengekalkan populasi. Tahun lalu misalnya populasi Jepun susut sebanyak 1 juta penduduk. Kombinasi kos sara hidup tinggi, tekanan pekerjaan, dan kurangnya inisiatif daripada kerajaan menjadi faktor ini berlaku.
Yang berlau di Jepun ini tidak unik di negara ini sahaja. Data terkini DOSM mengatakan di Malaysia kadar kelahiran ialah 1.6 untuk setiap wanita. Mungkin tidak lama lagi syarikat tempatan juga perlu mengikut langkah Jepun semata-mata untuk mencari pekerja yang semakin berkurangan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






