Malaysia Oversight

Syarikat berkaitan M’sia cetus kebimbangan pada pribumi Papua New Guinea

By MkiniBM in October 21, 2025 – Reading time 3 minute
Syarikat berkaitan M'sia cetus kebimbangan pada pribumi Papua New Guinea


Samuel Kime, pemilik tanah adat di hutan semula jadi wilayah sempadan Papua New Guinea dengan Indonesia, bimbang dengan permit pembalakan yang mejadi pertikaian — didakwa dikuasai oleh syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Malaysia — akan menghapuskan sumber makanan, budaya dan semangat komuniti mereka.

Satu laporan baru bertajuk “Malaysia’s Timber Colony: Exposing Malaysia’s Grip Over Papua New Guinea’s Forests” mendedahkan bahawa kebimbangan Kime mencerminkan krisis di seluruh negara, di mana sekurang-kurangnya 97 peratus lesen penebangan hutan dikaitkan dengan individu atau kepentingan yang berkaitan dengan Malaysia.

“Kami sudah kehilangan tanah di sekitar kami — hutan yang memberi kami makanan dan melindungi kami,” kata Kime (gambar utama), sambil menggambarkan bagaimana wilayah puaknya di daerah Vanimo di Sandaun, Sepik Barat telah dipecah-pecahkan untuk penanaman kelapa sawit dan pembalakan.

Menurutnya, sebahagian daripada sekurang-kurangnya 300,000 hektar tanah adat telah diluluskan untuk penebangan hutan di bawah lesen yang dikeluarkan melalui Pihak Berkuasa Penebangan Hutan Negara (FCA), dengan aktiviti penebangan terpilih bermula pada tahun 2019.

Lesen FCA yang dipertikaikan itu merupakan permit yang membenarkan penebangan hutan sementara bagi projek pertanian atau pembangunan di Papua New Guinea.

Menurut Kime, lesen tersebut lazimnya untuk selama sekitar 35 tahun, namun jika tanah yang ditebang digunakan untuk penanaman kelapa sawit, tempoh pajakan boleh dilanjutkan sehingga 99 tahun.

da77a1d588a250d9c4cca215a2c14104
Hutan hujan di Papua New Guinea

Dia turut menjelaskan bahawa pemaju diwajibkan membayar deposit jaminan sebanyak RM49,575 (50,000 Kina PNG) sebelum operasi dimulakan, namun jumlah bon bagi pajakan 99 tahun tidak diketahui.

“Apabila hutan lenyap, cara hidup kami turut hilang bersamanya,” kata aktivis hak tanah itu yang memiliki ijazah dalam bidang perhutanan.

“Bagi kami, hutan seperti ibu kami. Menggunakan analogi anak, kami disusukan oleh ibu.

“Apabila anda melenyapkan hutan, ia seolah-olah anda mengambil ibu kami sendiri,” kata lelaki berusia 54 tahun daripada suku Abau, pribumi di Sungai Sepik di wilayah tersebut.

Pembalakan tidak lestari

Kime berkata demikian semasa pelancaran laporan itu di Malaysia hari ini, di mana pengarah RimbaWatch, Adam Farhan menggesa SPRM menyiasat tindakan syarikat-syarikat Malaysia yang didakwa terlibat dalam pembalakan tidak lestari di sana.

Laporan itu turut menyeru Malaysia untuk menggubal undang-undang anti-Slapp (Strategic Lawsuit Against Public Participation) bagi melindungi pembela masyarakat Orang Asli, NGO, dan aktivis daripada ugutan serta cubaan menutup mulut oleh pihak korporat.

Penyelaras Papua New Guinea Environmental Alliance (PNGEA), Pamela Abusi, yang turut hadir pada majlis pelancaran itu, berkata kebanyakan hutan di negara mereka dimiliki oleh pemilik tanah adat dan telah wujud lebih 50,000 tahun.

f29ad90c788e4cf1e9b2c927ea06b512

“Namun, tempoh lesen FCA selama 99 tahun tidak menjamin pembangunan atau pemulihan semula hutan.

“Ini berkemungkinan tidak akan memberi peluang kepada tanah tersebut untuk dikembalikan kepada pemilik,” tegasnya.

“Sejak 2013, Papua New Guinea telah menjadi pengeksport terbesar kayu tropika di dunia, mengatasi Malaysia yang memegang kedudukan itu selama 30 tahun — sehingga hanya tinggal 10 peratus daripada hutan asalnya,” menurut laporan tersebut.

Pengawasan lemah

Laporan itu turut menerangkan bahawa sebanyak 1.68 juta hektar hutan hujan kini terancam akibat lesen FCA, dengan 88 peratus daripadanya diklasifikasikan sebagai “hutan belum terusik”.

“Sekurang-kurangnya 175 hektar dalam kawasan FCA boleh diklasifikasikan sebagai bukan hutan — bersamaan dua kali ganda saiz Singapura,” katanya lagi.

Pihak Berkuasa Perhutanan Papua New Guinea (PNGFA) tidak mendedahkan peta lesen FCA kepada umum.

Laporan tersebut menamakan semua pemegang lesen dan menyatakan yang 65 daripada 67 lesen FCA dikaitkan dengan syarikat berkaitan dengan Malaysia, serta mendakwa ramai daripada 79 individu berkaitan dengan Malaysia yang dikenal pasti ada hubungan dengan rangkaian perniagaan dan politik berpengaruh, termasuk kumpulan pembalakan utama berpangkalan di Sarawak.

Laporan kolaboratif oleh RimbaWatch, Bruno Manser Fonds dan PNGEA itu meneliti 67 lesen FCA yang disenaraikan dalam portal data siasatan awam untuk memetakan corak pemilikan dan kawalan.

ef529ae94faf8af6ee0f272a454bcc0c

Dengan penafian bahawa laporan itu berdasarkan maklumat yang tersedia semasa penerbitan dan tidak membuat sebarang dakwaan atau jaminan, penulisnya menegaskan bahawa hasil penemuan mereka adalah untuk tujuan maklumat semata-mata.

Penyelidik menggunakan rekod syarikat, data pemegang saham dan laporan siasatan bagi mengenal pasti kes di mana individu atau entiti yang terlibat dalam setiap FCA mempunyai kewarganegaraan Malaysia mahupun hubungan perniagaan atau alamat berdaftar di Malaysia.

Pelesenan penebangan hutan di Papua New Guinea sekian lama dikaitkan dengan ketidakteraturan dan kelemahan pengawasan.

Menurut laporan itu, lesen FCA pada asalnya dikeluarkan kepada pemegang Special Agricultural and Business Leases (SABL) bagi membolehkan hutan ditebang untuk projek pertanian.

Namun selepas pelbagai dapatan menunjukkan kegagalan prosedur dan ketiadaan persetujuan pemilik tanah, membatalkan semua SABL pada 2013 susulan siasatan oleh suruhanjaya inkuiri.

Malaysiakini sedang menghubungi syarikat-syarikat yang dinamakan dalam laporan itu untuk mendapatkan maklum balas mereka.



Source link