Dua ahli Parlimen DAP Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Adun PN daripada Bersatu Jasri Jamaludin, mendakwanya membuat kenyataan fitnah terhadap mereka dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam kenyataan bersama hari ini, Syahredzan dan Young Syefura berkata Adun Kuala Sentul Jasri Jamaludin antaranya mendakwa mereka berdua “sukarelawan untuk jadi pembelot bangsa”.
“Kami memandang serius perkara ini kerana sebelum ini kami sentiasa difitnah oleh pengikut PN di alam maya. Kami tidak sangka perangai ini dicerminkan juga oleh pemimpin mereka seperti Adun ini.
“Kami juga berasa amat kecewa kerana seorang wakil rakyat beragama Islam sepertinya sanggup memfitnah kami sejurus berakhirnya bulan Syawal.
“Kami akan mendapatkan nasihat peguam dan memulakan tindakan undang-undang terhadapnya,” kata mereka.

Syahredzan yang juga naib pengerusi DAP dan Young Syefura turut menyeru semua pemimpin serta wakil rakyat PN supaya lebih berhati-hati dalam berkata-kata, dan mengingatkan mereka tentang kes-kes saman fitnah sebelum ini yang menelan kos tinggi.
Pada Disember lalu, Ahli Parlimen PAS Siti Mastura Muhammad telah diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM750,000 kepada tiga pemimpin DAP.
Ia berikutan dakwaannya yang mengaitkan veteran DAP Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng, dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dengan ketua Parti Komunis Malaya yang telah meninggal dunia, Chin Peng, dalam satu ceramah pada 2023 di Kemaman, Terengganu.
Pada Februari lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, menyeru para pemimpin parti supaya menyemak fakta sebelum mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan saman fitnah serta menjaga reputasi parti.
Dia turut menekankan kenyataan peribadi juga boleh dikaitkan dengan parti, memandangkan kedudukan atau jawatan yang dipegang individu yang membuat kenyataan tersebut.