Suspek kes tikam yang dipercayai berpunca daripada perebutan tempat meminta sedekah di hadapan sebuah bank di Seksyen 18 di Shah Alam semalam direman tujuh hari sehingga 1 Mei bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata permohonan reman ke atas suspek, yang juga orang kurang upaya (OKU), dibenarkan oleh Majistret Nur Azureen Zainalkefli hari ini di Hospital Shah Alam pada 3.15 petang.
“Suspek dimasukkan ke wad pemerhatian kerana mengalami sawan dan pemeriksaan lanjut ke atas lelaki berusia berusia 28 tahun itu mendapati dia merupakan pemegang kad OKU lembam,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata punca kematian mangsa iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun disahkan adalah akibat luka tikaman di dada hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
“Pemeriksaan polis juga mendapati mangsa sudah berkahwin dan menetap di Klang bersama isterinya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Mangsa juga mempunyai kecederaan di kaki kanan akibat kemalangan tiga tahun lepas dan ada pemasangan peralatan perubatan ortopedik iaitu Ilizarov,” katanya.
– Bernama