Malaysia Oversight

Suspek insiden Kg Sg Baru ada kaitan sebuah organisasi

By MkiniBM in September 13, 2025 – Reading time 2 minute
Suspek insiden Kg Sg Baru ada kaitan sebuah organisasi


Polis mengesahkan tujuh suspek yang ditahan berkaitan kekecohan ketika operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru, mempunyai kaitan dengan sebuah organisasi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, kesemua mereka berusia antara 15 hingga 52 tahun ditahan berkaitan insiden tersebut.

“Saya boleh sahkan bahawa kita telah menahan ketua sebuah organisasi bersama beberapa ahlinya atas syak wasangka mencetuskan kekecohan dan provokasi semasa pengusiran berlaku.

“Buat masa ini, siasatan tertumpu kepada peranan mereka, sama ada terdapat konflik kepentingan atau jika wujud agenda lain yang tersembunyi.

“Kita masih belum dapat mengesahkan sama ada organisasi ini mempunyai kaitan dengan kegiatan samseng atau jenayah ganas sehingga siasatan selesai,” katanya dalam satu sidang media seperti dilaporkan New Straits Times.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 186, 353, dan 342 Kanun Keseksaan, atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi, serta menyebabkan kecederaan kepada anggota polis yang sedang bertugas.

“Sebahagian daripada individu yang ditahan juga didapati mempunyai rekod lampau, termasuk terlibat dalam rusuhan dan kes pecah rumah. Kami sedang meneliti semua sudut berdasarkan kenyataan dan soal siasat terhadap suspek,” tambah Fadil.

Salah seorang suspek kemudiannya mengaku bersalah dan didenda RM1,500, manakala enam lagi masih ditahan reman.

969b16c4fa7dabe6f6aee62eec6cb6e5

Fadil turut menyatakan bahawa siasatan polis mendapati kesemua suspek bukan penduduk Kampung Sungai Baru.

Polis kini sedang menjejaki beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam insiden berkenaan.

Dia mengesahkan bahawa pegawai polis yang cedera dalam kejadian itu berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan, serta meminta orang awam yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

Cedera di kepala

Pada Khamis lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala akibat kekecohan semasa operasi pengosongan rumah di kampung berkenaan.

Kekecohan tercetus selepas beberapa penduduk cuba memasuki kawasan operasi secara paksa dan tindakan mereka bersama beberapa orang awam dihalang pihak polis.

ec063629bab646ad979bb9259cb82d08

Susulan itu, beberapa orang penduduk yang tidak berpuas hati bertindak membaling objek termasuk batu ke arah pihak berkuasa.

Sulizmie dipercayai terkena salah satu objek berkenaan.

Penduduk kemudian akur untuk bersurai selepas polis mengeluarkan amaran tegas. Pihak berkuasa itu juga memaklumkan tiga individu ditahan akibat kejadian itu.

Bernama melaporkan Fadil tidak menolak kemungkinan penglibatan pihak luar yang memasuki kawasan operasi dan cuba mencetuskan kekacauan.

Operasi pengosongan itu merupakan percubaan kedua pihak berkuasa sejak Julai untuk memindahkan penduduk dari kawasan berkenaan.

Operasi ini dijalankan berdasarkan perintah mahkamah bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula kawasan itu oleh KL City Gateway Sdn Bhd, yang terletak berhampiran Kampung Baru.

Majoriti penduduk telah berpindah selepas menerima tawaran pampasan daripada syarikat tersebut.



Source link