Suspek berusia 14 tahun kes maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Selangor akan didakwa atas pertuduhan bunuh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok.
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh polis, pihaknya mendapati terdapat “asas yang mencukupi” untuk mendakwa remaja berkenaan.
“Sehubungan itu, jabatan ini memutuskan untuk mendakwa pelajar terbabit di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana kesalahan membunuh.
“Pertuduhan akan dikemukakan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 22 Oktober (esok),” kata AGC dalam kenyataan hari ini.
Mangsa, Yap Shing Xuen, 16, telah dibunuh di tandas perempuan di sekolahnya pada 14 Oktober lalu.
Polis menahan reman suspak sehari kemudian dan hari ini memperoleh lanjutan reman sehingga 28 Oktober.
Polis sebelum ini menyatakan permainan video ganas dan kandungan tertentu di media sosial mungkin memainkan peranan dalam tragedi itu, dengan Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar memaklumkan siasatan sedang dijalankan terhadap platform dalam talian yang berkemungkinan mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran suspek sebelum kejadian.
Dalam sidang media dua hari selepas insiden, ibu mangsa, Wong Lee Ping mendakwa anak perempuannya telah ditikam sebanyak 200 kali — dari bahagian atas kanan badan hingga ke bahagian kaki.
bapa tiri mendian, How Boon Chin pula merayu kepada pengguna media sosial agar berhenti menyebarkan khabar angin tentang anak tirinya, dan apa yang pihak keluarga mahukan hanyalah jawapan tentang apa yang sebenarnya berlaku.






