IPOH: Pembangunan hospital swasta terbaharu, Sunway Medical Centre Ipoh membabitkan nilai pelaburan melebihi RM430 juta, memperkukuh kedudukan bandar raya ini sebagai hab kesihatan bersepadu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kehadiran hospital kelima dalam rangkaian Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway (Sunway Healthcare Group) itu bukan sahaja memperluas akses kepada rawatan moden untuk rakyat, malah melengkapkan peta pelaburan kesihatan negara.
Katanya, ia juga mencerminkan kemajuan besar dan kemampuan negeri Perak dalam menerima serta memanfaatkan teknologi perubatan bertaraf antarabangsa.
“Hari ini kita menyaksikan bagaimana usaha berterusan memperkasa ekosistem kesihatan negeri diterjemahkan melalui kemudahan bertaraf dunia oleh Kumpulan Sunway.
“Kehadiran hospital ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi negeri ini sebagai destinasi utama pelaburan dan pelancongan kesihatan di utara tanah air,” katanya dalam sembah ucapan pada Majlis Perasmian Pusat Perubatan Sunway Ipoh, di sini hari ini.
Majlis perasmian pusat perubatan berkenaan disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Menurut Saarani, Sunway Medical Centre Ipoh menampilkan kemudahan perubatan canggih dan sistem rawatan moden yang mampu mempertingkatkan ketepatan diagnosis serta keberkesanan pemulihan pesakit.
Katanya, kemudahan baharu ini melengkapkan ekosistem kesihatan swasta di Ipoh yang telah lama terbina.
“Selain Hospital Pantai Ipoh, Hospital Pakar KPJ Ipoh, Hospital Fatimah, Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) dan Hospital Seri Botani yang telah beroperasi, dua lagi pusat perubatan swasta iaitu Quest Medical Centre dan Quill Medical Centre sedang dibangunkan di bandar raya ini.
“Pada masa yang sama, pembangunan Pusat Rehabilitasi Perkeso di Meru Raya yang telah mula menerima pesakit sejak Julai lalu turut mengukuhkan kedudukan Ipoh sebagai pusat rawatan dan pemulihan penting,” katanya.
Tambah beliau, kombinasi itu menjadikan Ipoh semakin menyerlah sebagai bandar kesihatan bersepadu.
“Sektor ini tentunya memberi kesan ekonomi yang luas, mewujudkan peluang pekerjaan profesional dan teknikal selain menghadirkan limpahan manfaat kepada sektor farmaseutikal, logistik, perhotelan dan pelancongan,” ujar beliau.
Sementara itu, Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long berkata, hospital berkenaan merupakan hospital pertama di Perak yang dilengkapi dengan mesin ‘PET-CT’ dan sistem Mako SmartRobotics bagi tujuan diagnostik kanser berteknologi tinggi dan pembedahan penggantian sendi lutut serta pinggul secara robotik.
“Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway mempunyai jumlah keseluruhan 1,700 katil.
“Dengan peluasan yang sedang dijalankan dalam tempoh beberapa tahun akan datang di lima hospital sedia ada, jumlah itu dijangka meningkat kepada 2,400 katil.
“Akhirnya, dengan penambahan tiga hospital baharu yang telah diumumkan, kumpulan ini akan mempunyai 3,400 katil menjelang tahun 2032,” katanya. – UTUSAN






