IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Menara Air Perak, iaitu ibu pejabat baharu milik Lembaga Air Perak (LAP) setinggi 14 tingkat di sini hari ini
Keberangkatan Baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Bangunan yang terletak di Basco Avenue @ Kepayang itu mula dibina pada Mac 2016 dengan kos RM92 juta, siap pada Februari 2023 dan beroperasi sebulan kemudian.
Menara itu dilengkapi kemudahan seperti pejabat pentadbiran, pusat arahan, dewan bankuet, surau, taska dan gimnasium.
Turut hadir ke majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Exco-exco negeri dan barisan kepimpinan dan pentadbir negeri.
Ketika menyampaikan sembah ucapan, Saarani berkata, pada tahun 1895, Taiping menjadi bandar pertama di Tanah Melayu menikmati sistem bekalan air moden, diikuti dengan pembinaan Ipoh Water Works pada tahun 1905 bagi menyokong pertumbuhan pesat bandar perlombongan timah.
Tambahnya, LAP ditubuhkan pada 1 Januari 1990, daripada satu jabatan kerajaan kepada sebuah badan berkanun.
“Kejayaan LAP dizahirkan melalui rekod sebagai pembayar zakat korporat tertinggi di negeri Perak dengan jumlah terkumpul melebihi RM86 juta sejak tahun 2007. Atas rekod itu, LAP telah menerima Anugerah Zakat Kebangsaan 2023,” katanya.
Saarani juga menjelaskan, pelarasan tarif air telah berlaku di beberapa negeri bermula Ogos 2025.
Namun katanya, Perak mengekalkan kadar yang telah ditetapkan sejak Mei 2024 selepas pelarasan terakhir pada tahun 2006.
“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira kemampuan rakyat serta keupayaan kewangan LAP,” katanya.
Tambah beliau, hampir RM39 juta setahun dikembalikan kepada rakyat melalui subsidi dan rebat.
Katanya, itu termasuklah 25 meter padu percuma untuk golongan miskin, 10 meter padu percuma untuk rumah ibadat dan institusi kebajikan, serta rebat RM4 bagi 10 meter padu pertama setiap bulan untuk semua pengguna domestik. – UTUSAN