PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengadakan lawatan negara ke Russia bermula 5 hingga 10 Ogos ini atas jemputan Presiden negara itu, Vladimir V. Putin.
Menurut kenyataan media Istana Negara yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi Seri Paduka Baginda hari ini, Sultan Ibrahim akan melakar sejarah apabila menjadi ketua negara Malaysia pertama mengadakan lawatan negara ke Russia sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada 1967.
Lawatan tersebut juga turut melambangkan peranan penting institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara.
“Lawatan ini bukan sahaja akan memperkukuh hubungan dua hala sedia ada malah akan membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan sesama rakyat.
“Selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia turut memainkan peranan signifikan mengeratkan kerjasama strategik dalam konteks Persekutuan Rusia sebagai Rakan Dialog ASEAN sejak 1996,” kata kenyataan itu.
Sempena lawatan itu, Sultan Ibrahim dijadual menghadiri Istiadat Sambutan Negara yang akan diadakan di Kremlin dan disempurnakan oleh Presiden Putin, diikuti satu pertemuan rasmi antara kedua-dua ketua negara.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong turut dijadual menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Russia selain mencemar duli melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) serta Hab Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya.
Selesai lawatan ke Moscow, Seri Paduka Baginda berkenan meneruskan lawatan ke Kazan, Republik Tatarstan pada 8 Ogos.
Republik Tatarstan merupakan salah sebuah republik autonomi Persekutuan Rusia dengan majoriti penduduk beragama Islam.
Di Kazan, baginda berkenan menerima menghadap Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov sebelum berangkat melawat pusat pembuatan dan pemasangan helikopter di republik berkenaan.-UTUSAN.