Malaysia Oversight

Sukarelawan M’sia dipukul, diberi ‘makanan haiwan’ oleh tentera Israel

By MkiniBM in October 5, 2025 – Reading time 2 minute
Sukarelawan M'sia dipukul, diberi 'makanan haiwan' oleh tentera Israel


Sebahagian daripada 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza mendakwa mereka dipukul di muka, ditarik rambut, dan diberikan “makanan haiwan” ketika berada dalam tahanan rejim Israel.

Perkara itu didedahkan salah seorang peguam mereka, Abd Moin berdasarkan perbualan dengan aktivis berkenaan di Istanbul, Turki.

“Melalui perbualan secara kasual, mereka menyatakan diberi layanan buruk seperti rambut ditarik, dipukul di muka dan diberikan makanan yang kalau diikutkan maksudnya – makanan kepada binatang.

“Mereka juga minum air paip dari tandas penjara… semua kisah ini akan kami kumpulkan sejurus balik ke Kuala Lumpur nanti,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Selain , peguam hak asasi manusia yang mewakili 23 sukarelawan Malaysia terbabit ialah Dir Kheizwan Kamaruddin, Azril Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar, dan Luqman Mazlan.

berkata, pasukan peguam akan mengumpulkan semua maklumat terbabit sebelum mempertimbang untuk menghantar laporan lengkap kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

“Adakah mereka diseksa dan apakah bentuk layanan pihak rejim Zionis… sekiranya ada apa-apa tindakan diambil pihak rejim itu, kita akan pertimbangkan untuk menghantar laporan lengkap kepada UNHRC.

“Ia bagi memastikan rejim Zionis tidak terlepas daripada tindakan akibat layanan mereka kepada sukarelawan kita,” katanya.

Terdahulu, salah seorang aktivis wanita, Ardell Aryana dilaporkan memakai tudung menggunakan t-shirt, selepas kain tudungnya dirampas secara paksa ketika dalam tahanan.

Para sukarelawan itu ditahan oleh tentera Israel pada Khamis lalu dan dibawa ke Penjara Ketziot di Gurun Negev sebelum dibebaskan semalam.

Perdana Menteri Ibrahim semalam mengesahkan sukarelawan berkenaan sedang dalam perjalanan pulang ke tanah air.

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel pada jam 6.45 petang (waktu Malaysia) dan tiba di Istanbul pukul 8.40 malam waktu Malaysia, semalam.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Selain itu, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

Misi Global Sumud Flotilla (GSF) disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara yang belayar menuju ke Gaza sebagai tanda solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, di samping menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.



Source link