Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) segera membuat laporan polis terhadap pegawai penjara yang didakwa memberikan keterangan palsu di bawah sumpah dalam inkuiri awam berhubung insiden serangan di Penjara Taiping pada 17 Jan lalu.
Pengarah Eksekutif Suaram, Azura Nasron, berkata gesaan itu dibuat ekoran keengganan Suhakam untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran sumpah semasa memberi keterangan berkenaan.
Menurut Azura, kegagalan bertindak terhadap keterangan palsu itu bukan sahaja menjejaskan integriti inkuiri, malah boleh menutup maklumat penting yang tidak dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV), terutamanya kerana rakaman tersebut tidak mengandungi audio.
“Setiap keterangan yang tidak jujur berisiko menutup butiran kes yang penting bagi mendapatkan gambaran penuh kejadian dan mencadangkan pembaharuan penjara yang berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Azura juga menegaskan kegagalan Suhakam bertindak akan mewujudkan duluan buruk untuk siasatan awam pada masa depan selain mencemar status Suhakam sebagai institusi hak asasi manusia bertaraf A.
“Oleh itu, Suaram menggesa Suhakam segera membuat laporan polis bagi memulakan siasatan bebas terhadap pola keterangan palsu dan mengelirukan yang diperhatikan berlaku sepanjang inkuiri.
“Jika Suhakam mahu memainkan peranan serius memastikan pihak berkuasa penguatkuasaan bertanggungjawab, mereka mesti menunjukkan bahawa prosesnya tidak boleh dimanipulasi,” katanya.
Kata Azura, sebarang penangguhan tindakan juga hanya akan menghantar isyarat yang salah mengenai toleransi institusi terhadap keterangan palsu di bawah sumpah dan melemahkan keyakinan awam terhadap hasil inkuiri tersebut.

Suhakam sedang menjalankan siasatan awam berhubung dakwaan pencabulan hak asasi manusia di Penjara Taiping susulan kematian seorang banduan, M Vijian, yang didakwa meninggal dunia selepas dipukul oleh seorang warden semasa rusuhan pada 17 Jan lalu.
Menurut Azura, beberapa pegawai Penjara Taiping yang memberi keterangan dalam inkuiri tersebut menafikan terlibat dalam memukul atau menendang tahanan terbabit walaupun rakaman CCTV menunjukkan sebaliknya.
“Hanya sebahagian pegawai mengakui tindakan mereka setelah berulang kali diingatkan oleh panel inkuiri bahawa mereka berada di bawah sumpah.
“Selebihnya masih menggunakan istilah berlapik seperti ‘sentuh’, atau memberi alasan bahawa mereka hanya mahu menakut-nakutkan,” katanya.
Azura turut memberikan dua contoh untuk menunjukkan keseriusan isu tersebut.
Tonton rakaman sebelum beri keterangan
Katanya terdapat persamaan yang ketara dalam keterangan kelima-lima pegawai pada minggu keempat inkuiri.
Semua pegawai terbabit, katanya, memberi alasan kononnya tahanan itu mengeluarkan kata-kata kesat serta ugutan bunuh atau rogol sebagai sehingga mereka hilang sabar dan memukul lelaki berkenaan.
“Pola keterangan yang hampir sama ini menimbulkan kebimbangan serius tentang kemungkinan wujudnya latihan atau pakatan.
“Kami juga mengambil maklum bahawa terdapat keterangan bersumpah bahawa mereka telah berkumpul dalam sebuah bilik untuk menonton rakaman sebelum memberi keterangan,” katanya.
Azura turut menolak hujah bahawa laporan polis akan mencetuskan “siasatan dalam siasatan” dengan menegaskan bahawa tindakan polis dan inkuiri Suhakam mempunyai fokus yang berbeza.
Katanya siasatan polis tertumpu kepada pelanggaran undang-undang secara khusus, manakala inkuiri Suhakam memberi tumpuan kepada mengenal pasti kegagalan sistemik dan mencadangkan pembaharuan.
Siasatan Suhakam sedang dijalankan di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur, dan dijangka memasuki minggu keenam apabila disambung semula pada Isnin dan antara 18 hingga 22 Ogos.
Panel siasatan itu terdiri daripada Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus dan salahs seorang pesuruhjayanya, Farah Nini Dusuki.