Malaysia Oversight

Sudah tiba masanya Pas terajui PN – Ahmad Samsuri

By Utusan in September 13, 2025 – Reading time 2 minute


HULU TERENGGANU:  Sudah tiba masanya mengambil alih tampuk kepemimpinan  Perikatan Nasional (PN) secara muafakat politik, kata Naib Presiden , Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, memperkukuh kerjasama dalam PN dan memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menjadi keutamaan sekali gus membuka ruang parti itu mengetuai blok pembangkang.

“Sudah sampai waktu dan ketikanya berbincang dengan rakan muafakat politik untuk Pas pula mengambil alih mengetuai kerusi ini secara muafakat politik.

“Pada peringkat ini yang menjadi keutamaan adalah untuk kita berusaha memperkukuh muafakat politik, berusaha memenangi pilihan raya dan isu siapa yang menjadi Perdana Menteri adalah isu yang  wajar dibincangkan secara bersama sebagai muafakat PN.

 “Pandangan pelbagai pihak termasuk sayap-sayap parti akan dipertimbang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pas,” katanya selepas Majlis Resepsi dan Perasmian Walimatulurus Perdana 2025 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan negeri bagi menjayakan majlis tersebut melibatkan 192 pasangan di seluruh Terengganu pada tahun ini termasuk 20 pasangan di Hulu Terengganu.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Muktamar Tahunan Pas kali ini boleh dianggap paling hampir dengan PRU16 dan perbahasan dijangka menumpukan aspek pengukuhan parti, isu ekonomi, keharmonian kaum dan hala tuju Pas sebagai parti nasional yang berkaliber.

Ujarnya, Pas tidak mahu bergerak bersendirian kerana percaya kemenangan hanya boleh dicipta dalam pilihan raya akan datang sekiranya muafakat politik diperkukuh dan kerjasama dieratkan di seluruh negara.

Mengulas cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menamakan calon Perdana Menteri daripada parti itu, Ahmad Samsuri berkata, Pas tidak menafikan hak setiap parti komponen untuk membuat keputusan.

Katanya, ia hak Bersatu untuk mencalonkan sesiapa sahaja dan baginya perkara lepas sudah berlalu dan yang lebih penting sekarang adalah strategi bagaimana memperkukuh muafakat politik bersama rakan-rakan strategik untuk mencapai kemenangan PRU16.

Ditanya sama ada MCA akan menjadi sebahagian daripada muafakat politik PN, beliau memaklumkan setakat ini masih tiada  sebarang perbincangan rasmi berhubung perkara itu. – UTUSAN





Source link