Malaysia Oversight

Suapan lulus bangunan: 3 pegawai PBT direman

By MkiniBM in July 29, 2025 – Reading time 1 minute
Suapan lulus bangunan: 3 pegawai PBT direman


Tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu ditahan reman enam hari bermula hari ini kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM25,000 sebagai balasan memudahkan urusan permohonan pelan kelulusan bangunan.

Perintah reman sehingga Sabtu itu dikeluarkan majistret Yuhanis Mohd Roslan selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Menurut sumber, dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dari 2015 hingga 2019.

“Mereka dipercayai menerima wang rasuah dengan jumlah berbeza yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM25,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing,” kata sumber.

Dia juga memaklumkan jumlah wang suapan tersebut merangkumi 14 projek.

Sumber terbabit turut memaklumkan tangkapan dibuat sebagai susulan penahanan seorang pengarah sebuah agensi pada Jan lalu yang melibatkan rasuah bernilai kira-kira RM900,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Dia juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan dibuat bagi membantu siasatan.

Bernama



Source link