Strava Dilaporkan Menarik Semula Tuntutan Saman Terhadap Garmin
Amy Maizuraa
Strava dilaporkan menarik balik tuntutan mahkamah terhadap Garmin atas dakwaan pelanggaran paten ciri segmen dan peta haba (heatmaps). Keputusan ini dibuat kerana bimbang menjejaskan hubungan dengan Garmin dan mengambil kira kekuatan Garmin dalam kes undang-undang.

Laporan menyatakan bahawa tuntutan saman itu mungkin tidak kukuh terutama berkaitan dakwaan pelanggaran paten ciri segmen. Oleh itu, tindakan undang-undang tersebut berisiko menyebabkan paten milik Strava dibatalkan sekali gus menjejaskan kedudukan syarikat dalam industri peranti boleh pakai.

Selain itu, Garmin ialah rakan kongsi utama Strava dan penyumbang besar kepada hasil langganan berbayar. Ramai pengguna Garmin merupakan pelanggan Strava, manakala data daripada peranti Garmin membantu meningkatkan fungsi penjejakan laluan dalam platform Strava.

Jika Garmin memutuskan hubungan atau Strava menarik sokongan, ia boleh menjejaskan kelangsungan operasi Strava secara serius. Garmin juga dikatakan mempunyai rekod cemerlang dalam mempertahankan tuntutan pelanggaran paten dan turut memiliki koleksi paten yang luas.
Walaupun penarikan balik tuntutan ini bukan petanda kejatuhan Strava, ia tetap memberi tekanan kepada kedudukan syarikat. Tanpa sokongan daripada Garmin, Strava perlu mencari sumber pendapatan lain termasuk menjalin kerjasama dengan pengeluar peranti boleh pakai yang lain.

Dalam masa yang sama, Garmin dilaporkan telah menjalinkan kerjasama baharu dengan Komoot iaitu pesaing kepada Strava. Langkah ini secara tidak langsung menunjukkan Garmin mungkin tidak lagi berminat untuk meneruskan hubungan dengan Strava selepas isu saman yang timbul.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






