Malaysia Oversight

Status pernikahan Kamal Adli, Uqasha sah dengan kebenaran wali mujbir – JAIP

By Utusan in October 23, 2025 – Reading time 2 minute
Status pernikahan Kamal Adli, Uqasha sah dengan kebenaran wali mujbir - JAIP


PETALING JAYA: Status perkahwinan pasangan selebriti, Kamal Adli dan Uqasha Senrose adalah sah di sisi syarak.

Perkara itu disahkan Jabatan Agama Pahang (JAIP) memaklumkan pasangan itu dinikahkan dengan kehadiran wali mujbir pengantin perempuan yang juga bapa kandung Uqasha, Nik Sen Mat Ripin pada 4 November 2021, pukul 9:30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong. 

“Berdasarkan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang, Ahmad Kamal bin Ahmad Adli (Kamal Adli) telah sah bernikah  dengan Nik Zaris Uqasha binti Nik Sen (Uqasha Senrose) melalui persetujuan dan kehadiran wali mujbir, Nik Sen bin Mat Ripin. 

“Bapa pengantin mewakilkan (secara wakalah wali) kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Kawasan Bentong 1 untuk menjalankan akad itu,” katanya dalam kenyataan kepada media, pada Khamis.

Majlis pernikahan pasangan itu dikendalikan dengan pematuhan prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Wali mujbir merupakan wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih dara tanpa meminta izin gadis terlebih dahulu dengan syarat perkahwinan perlu mendapat kerelaan anak dan persetujuan bakal suami.

Terdahulu, Uqasha Senrose mempertikai status perkahwinan dengan mendakwa tarikh yang direkodkan dalam sijil perkahwinan berbeza.

Uqasha mendakwa dia dinikahkan pada 5 November 2021. 

Uqasha dalam hantaran tersebut mendakwa Kamal dan keluarganya telah memanipulasi tarikh pernikahannya. Bagaimanapun hantaran tersebut telah dipadam.

Terdahulu, Uqasha telah memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.  -UTUSAN





Source link