SRC International Sdn Bhd dan Gandingan Mentari Sdn Bhd berkata saman sivil yang difailkan terhadap Najib Razak bertujuan mendapatkan kembali dana RM42 juta yang menjadi hak rakyat, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Peguam syarikat itu, Kwan Will Sen, dalam kenyataan pembukaannya berkata kes mereka akan berpusat pada pengkhianatan terhadap amanah awam, tujuan nasional dan golongan rakyat yang paling terdedah.
“Fakta ini jelas; RM42 juta wang awam, dana yang sepatutnya menjamin masa depan tenaga Malaysia dan dimanfaatkan oleh pesara perkhidmatan awam, berakhir di dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri kita, defendan.
“Bukti menceritakan kisah yang ringkas tetapi membinasakan; kuasa awam telah disalah guna dan disalah manfaat,” katanya.

Perbicaraan yang bermula hari ini di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, dimulakan dengan keterangan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling, sebagai saksi pertama pihak plaintif.
Ung memberitahu mahkamah bahawa dia hanya bertindak mengikut arahan Azlin, yang mengarahkannya supaya meminta CEO dan pengarah Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Shamsul Anwar Sulaiman, memindahkan dana tersebut ke akaun Ambank milik Najib.
Katanya, arahan itu disampaikan ketika dia bertemu Azlin pada September 2014.
“Dia memaklumkan kepada saya bahawa dalam beberapa bulan akan datang, dana akan dipindahkan ke akaun bank yang diuruskan oleh IPSB.

“Azlin memaklumkan bahawa dana ini adalah untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan mengarahkan saya supaya memberitahu Shamsul ke mana dana ini perlu dipindahkan.
“Dia tidak menyatakan jumlah yang akan dipindahkan ke akaun bank IPSB, tarikh pemindahan atau sumber dana tersebut,” katanya.
Bekas CEO itu, yang pelantikannya diluluskan oleh Najib, berkata pada masa tersebut dia tidak terfikir untuk bertanya lanjut memandangkan Azlin mengatakan ia bagi tujuan CSR dan beliau tiada sebab untuk meraguinya.
Pemindahan berlaku seperti diarahkan oleh Azlin kepadanya, pada Disember tahun yang sama, melibatkan dana RM27 juta dan RM5 juta dan sekali lagi pada Februari 2015 melibatkan dana RM10 juta — menjadikan jumlah keseluruhan RM42 juta yang masuk ke dua akaun milik Najib.

“Pada masa tersebut, saya tidak mengetahui sumber dana ini, dan tidak dimaklumkan mengenainya oleh Azlin. Tetapi saya boleh mengesahkan bahawa dana ini tidak berasal daripada atau dimiliki oleh YR1M.
“Namun, berdasarkan laporan media dan keputusan Mahkamah Tinggi (dalam sabitan kes SRC International terhadap Najib), saya faham bahawa dana yang dipindahkan ke IPSB itu berasal daripada SRC,” katanya.
Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai akaun bank peribadi Najib — yang menjadi destinasi akhir dana tersebut — melalui laporan media.
Ung sebelum ini pernah memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-49 dalam kes jenayah SRC International melibatkan Najib, dengan Mahkamah Tinggi mendapati bekas perdana menteri itu bersalah atas pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat itu.
SRC International dan anak syarikat milik penuhnya, Gandingan Mentari, memfailkan saman terhadap Najib pada 2021, dengan mendakwa dia melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa, mendapat manfaat peribadi daripada dana SRC International dan menyeleweng dana tersebut.
Perbicaraan akan bersambung di hadapan Raja Ahmad Mohzanuddin pada 8 September.
[Baca berita asal]