SPRM menahan dua individu bergelar “datuk” kerana disyaki meminta dan menerima suapan kira-kira RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di Sabah.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30 dan 60-an itu ditahan kira-kira 9.45 dan 11.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu dan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Kedua-dua suspek terdiri daripada seorang ahli perniagaan dan seorang Adun dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar 2023 dan 2024.
“Siasatan awal mendapati mereka disyaki saling meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM200,000 antara satu sama lain bagi membantu menguruskan permohonan lesen cari gali di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.
Azam berkata seorang daripada suspek yang merupakan ahli perniagaan telah dilepaskan dengan jaminan RM100,000 beserta dua penjamin setelah selesai memberi keterangan.
Katanya lagi, Adun itu turut dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan RM50,000 berserta seorang penjamin.
-Bernama