Malaysia Oversight

SPRM rekod kewangan ahli keluarga, kenalan rapat terbabit

By MkiniBM in September 18, 2025 – Reading time 2 minute
SPRM rekod kewangan ahli keluarga, kenalan rapat terbabit


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses meneliti rekod kewangan ahli keluarga dan kenalan rapat individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam skandal counter setting.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata ia sebahagian usaha menjejaki wang (money trail) di sebalik kegiatan itu dan siasatan melibatkan kesemua pihak yang berkaitan dengan individu ditahan.

“Sesiapa yang mempunyai kaitan dengan mereka akan disiasat. Buat masa ini, kita menganggap mereka sebagai saksi dan perlu mendapatkan penjelasan sepenuhnya kerana ada yang mendakwa wang itu berasal daripada pihak (sumber) lain.

“Jadi dalam hal ini, kita akan menyiasat lebih lanjut. Dalam kes ini, money trail itu tidak panjang sebab bukan kes melibatkan korporat, tetapi mereka perlu menjawab dari mana wang ini diperoleh dan sekiranya ada kaitan, mereka akan dipanggil,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada siasatan melibatkan ahli keluarga dan kenalan rapat selepas menghadiri Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali keempat di Sepang hari ini.

Beliau berkata SPRM juga akan mendapatkan keterangan mengenai bagaimana mereka yang ditahan mampu membeli kenderaan mewah, membuka perniagaan dan memiliki sejumlah wang tunai.

“Mereka akan diberi notis tertentu untuk mengisytiharkan harta mereka … semua ini akan dipersoalkan bagaimana perolehan wang berlaku atau apa punca wang yang diperoleh,” katanya.

Sehubungan dengan itu, SPRM juga telah membuka siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau turut mengesahkan tiada tangkapan baharu setakat ini, namun tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan, bergantung kepada pegawai penyiasat.

SPRM pada 10 Sept lepas memaklumkan mengenai penahanan 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki terbabit dengan sindiket counter setting yang melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita yang berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun, ditahan dalam satu operasi di sekitar , Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

– Bernama



Source link