Sempena ulang tahun ke-16 kematian misteri Teoh Beng Hock, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini buat pertama kalinya mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mendiang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki turut mengumumkan kesediaan agensi anti-rasuah itu untuk memberikan “sumbangan ihsan” kepada keluarga Teoh, khususnya bagi menyokong kebajikan dan keperluan pendidikan anak tunggal mendiang.
“Ia merupakan satu insiden hitam yang telah memberi kesan besar bukan sahaja kepada waris mendiang tetapi juga kepada seluruh warga SPRM dan negara.
“Atas dasar keprihatinan, saya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM, ingin menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh tersebut,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sejak kejadian tersebut, Azam berkata SPRM komited untuk memperbaiki kelemahan lalu dan berusaha membina semula kepercayaan rakyat.
“SPRM) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengiktiraf keputusan daripada pelbagai siasatan yang telah dijalankan berhubung kes kematian Teoh Beng Hock sepanjang 16 tahun lalu.
“Ini termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada tahun 2011, keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 serta siasatan terkini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara.
“Walaupun siasatan terkini tidak menemui bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang, SPRM tetap memandang serius bahawa mendiang Teoh Beng Hock ditemui meninggal dunia di premis SPRM Selangor pada 16 Julai 2009,” katanya.

Azam turut menjelaskan beberapa langkah yang telah diambil oleh SPRM bagi memperbaiki kelemahan terdahulu serta memastikan keselamatan individu yang dipanggil untuk siasatan.
Ini termasuk mewujudkan bilik rakaman video khas bagi tujuan pengambilan pernyataan, menempatkan bilik temu bual di aras bawah, serta memasang jeriji besi di premis SPRM.
SPRM juga telah menambah baik sistem kamera litar tertutup (CCTV) dengan teknologi lebih canggih, dan melengkapkan pegawai penyiasat dengan kamera badan untuk merakam semua operasi siasatan.
Walaupun kerajaan telah membayar pampasan RM600,000 kepada keluarga Teoh serta RM60,000 lagi bagi kos guaman, Azam berkata SPRM bersedia memberikan sumbangan tambahan.

“Sebagai tanda keprihatinan, SPRM bersedia memberi sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang dalam jumlah yang akan ditentukan kelak bagi tujuan kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang.
“SPRM kekal komited untuk menegakkan integriti dan ketelusan dalam setiap aspek tugasan serta memperkukuh usaha penambahbaikan institusi secara berterusan,” katanya lagi.
Pada 2009, Beng Hock, yang merupakan setiausaha politik kepada exco kerajaan negeri Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah ditemui meninggal dunia selepas sesi soal siasat semalaman di pejabat SPRM Selangor yang ketika itu beroperasi di Plaza Masalam, Shah Alam.
Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja pada tahun 2011 memutuskan mendiang terdorong untuk membunuh diri akibat teknik soal siasat yang agresif.
Namun pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematian mendiang berpunca atau dipercepatkan oleh tindakan menyalahi undang-undang, termasuk oleh pegawai SPRM sendiri.
Tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjanji kepada keluarga mendiang bahawa kes tersebut akan disiasat secara menyeluruh.
Bagaimanapun, pada Mei lalu, Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).