Malaysia Oversight

SPRM mohon beku 36 akaun bernilai lebih RM3 juta

By MkiniBM in November 15, 2025 – Reading time 2 minute
SPRM mohon beku 36 akaun bernilai lebih RM3 juta


SPRM dilaporkan memohon untuk membekukan 36 akaun bank berjumlah lebih RM3 juta selepas menahan 11 individu berkaitan siasatan rasuah dalam proses pemutihan pekerja asing.

Menurut Harian Metro, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memaklumkan pembekuan akaun bernilai RM3,121,813.10 itu adalah sebahagian daripada tindakan susulan siasatan pihaknya.

Selain pembekuan akaun, katanya, SPRM turut merampas empat kereta, lima motosikal, dua jongkong emas seberat 0.3 gram, beberapa barangan kemas dianggarkan bernilai RM7,000 serta wang tunai RM116,702.

“Berdasarkan hasil siasatan, rasuah yang diterima adalah bagi mempercepatkan proses RTK (Rekalibrasi Tenaga Kerja) yang dianggarkan sebanyak RM600 untuk setiap pekerja asing.

“Mereka yang ditahan itu adalah bermula gred KP19/KP1 hingga KP38/KP7.

“Setakat ini tiada tangkapan baru dan seramai tujuh saksi sudah dipanggil bagi merakam percakapan,” katanya seperti dipetik.

301246b8282fb376bd3294e69c7a9193

Sebelum ini, SPRM menahan 10 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta seorang lagi yang sudah bersara, yang dipercayai menerima bayaran bagi mempercepatkan kelulusan permohonan di bawah program RTK.

Pada 13 November lalu, SPRM mendapat perintah reman selama tiga hari terhadap tujuh daripada 11 pegawainya, manakala empat lagi telah dilepaskan dengan jaminan suruhanjaya itu.

Program RTK merupakan skim penetapan semula khas oleh Jabatan Imigresen yang membolehkan majikan menggaji pekerja asing tanpa izin (PATI) yang telah tinggal lebih masa atau tidak mempunyai permit sah.

RTK 1.0 diperkenalkan pada 28 Disember 2020 sebagai program sementara untuk mengesahkan status pendatang tanpa izin, manakala RTK 2.0 berlangsung dari 27 Jan hingga 31 Dis 2023.

Menurut laporan media, dalam tujuh bulan pertama pelaksanaan RTK 2.0, sebanyak 720,099 pendatang tanpa izin telah didaftarkan menerusi 51,753 majikan.

Yuran penetapan semula di bawah RTK 2.0 ditetapkan pada RM1,500 bagi setiap pekerja, dengan kadar levi antara RM640 hingga RM1,850 bergantung kepada sektor, selain yuran RM60 dan yuran pemprosesan RM125.

Bagaimanapun, siasatan Malaysiakini mendapati terdapat dakwaan bahawa pihak tertentu telah menyeleweng ratusan juta ringgit melalui program tersebut.



Source link