Malaysia Oversight

SPRM maklumkan perkembangan terkini kes berprofil tinggi Selasa ini

By MkiniBM in September 7, 2025 – Reading time 2 minute
SPRM maklumkan perkembangan terkini kes berprofil tinggi Selasa ini


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memaklumkan perkembangan terkini beberapa kes berprofil tinggi termasuk siasatan terhadap bekas Perdana Menteri .Ismail Sabri Yaakob, pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan projek Sambungan Lebuhraya Maju (MEX II) pada Selasa ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM .Azam Baki berkata pihaknya turut akan memperincikan kes berkaitan siasatan Op Sikaro, syarikat penyedia penyelesaian minyak dan gas Sapura Energy Bhd serta beberapa kes lain yang disiasat sejak tahun lepas.

Katanya bagi Op Sikaro, siasatan masih dijalankan dan SPRM mengesan wang yang banyak diperoleh hasil aktiviti haram dengan pegawainya masih membuat analisis kerana melibatkan beratus-ratus akaun.

“Bagi isu berkaitan DBKL, siasatan selesai, setakat ini kes dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk kajian dan cadangan untuk dituduh di mahkamah.

“Saya harap dapat dituduh selewat-lewatnya selepas sambutan Hari Malaysia atau awal minggu pertama Okt,” katanya kepada pemberita.

Azam berkata demikian selepas merasmikan Balai Raya Kampung Terentang bersempena program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di Kuala Pilah hari ini.

Bagi kes DBKL, Azam berkata, SPRM telah menahan tiga individu melibatkan seorang pegawai kanan gred Jusa B, seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam pada bulan lalu kerana disyaki terlibat dalam rasuah sejak 2014.

Selain itu, Azam berkata SPRM berusaha menyelesaikan semua kes siasatan berprofil tinggi dengan segera bagi mengelakkan persepsi negatif masyarakat yang mungkin menganggap agensi terbabit melengahkan proses siasatan.

Dia turut menjelaskan kebanyakan siasatan dipercepatkan, termasuk dari segi penyediaan kertas siasatan, malah kebanyakan kes dikenakan tindakan punitif seperti pendakwaan di mahkamah, denda, serta tindakan dalaman oleh jabatan terlibat.

Media sebelum ini melaporkan Ismail Sabri beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh pentadbirannya dari Ogos 2021 hingga Nov 2022.

Bernama



Source link