Penganjur siri demonstrasi antirasuah di Sabah menyelar penutupan kes “tanpa laporan terperinci” dalam dakwaan skandal lesen perlombongan Sabah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
“SPRM telah membuktikan bahawa ia bukan lagi badan bebas,” kata Suara Mahasiswa UMS.
“Dengan diam membisu, kemudian menutup kes tanpa laporan terperinci, SPRM telah menukar wajahnya daripada ‘pencegah rasuah’ kepada ‘pelindung elit’.”
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata mereka telah mengambil kenyataan semua pihak terlibat dan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada pertuduhan jenayah dapat dikenakan ke atas mana-mana pihak, sama ada bawah Akta SPRM atau Kanun Keseksaan.
Azam mengesahkan tiada lesen penerokaan mineral dikeluarkan kepada syarikat yang dikaitkan dengan Farhash kerana syarikat itu tidak meneruskan penyerahan dokumen yang diperlukan.
Dia menambah tiada isu tadbir urus dan kes itu dianggap selesai.
Dalam kenyataan hari ini, Suara Mahasiswa UMS berkata keputusan itu tidak memberi keyakinan.
Malah, kata kumpulan itu, ia menimbulkan persoalan sama ada SPRM “masih ada taring atau sudah jinak bawah genggaman politik”.
Pada 21 Julai, MalaysiaNow mengaitkan Farhash dengan skandal lesen penerokaan mineral di Sabah.
Portal berita itu memuat naik rakaman suara yang didakwa menunjukkan Ketua Menteri Hajiji Noor menyuarakan sokongan untuk syarikat yang dikaitkan dengan Farhash.
Lembaga Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), yang dipengerusikan Hajiji, menafikan mana-mana syarikat yang dikaitkan dengan Farhash diberikan lesen cari gali mineral di seluruh rizab hutan yang besar di negeri itu.
Farhash juga menolak laporan itu sebagai palsu, menghantar surat tuntutan guaman dan membuat laporan polis terhadap MalaysiaNow.