Malaysia Oversight

SPRM cadang pasang CCTV canggih dalam lokap

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan lokap milik agensi penguat kuasa di negara ini dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) canggih bagi meningkatkan ketelusan dan integriti.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, dia menyedari sistem CCTV yang dimiliki beberapa agensi, sudah lapuk dan berkemungkinan boleh menimbulkan tohmahan serta masalah.

“CCTV yang ada sekarang CCTV yang lapuk, ya ada CCTV, saya tahu, tapi banyak isu sehingga menimbulkan banyak tohmahan seperti kematian, mungkin isu rasuah pun ada, ketidakpatuhan pun ada, (hanya disebabkan) oleh masalah teknikal.

“Jadi CCTV penting kepada saya dan saya sarankan CCTV bukan sekadar CCTV biasa, pertama ada sistem AI (kecerdasan buatan), yang kedua perlu ada pusat kawalan, janganlah CCTV tu ‘stand alone’ (tidak disambungkan ke pusat kawalan),” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Dalam sesi khas bersama media di ibu pejabat SPRM hari ini, Azam berkata satu kertas cadangan yang lebih komprehensif berhubung perkara itu akan dikemukakan kepada untuk pertimbangan lanjut.

Selain pemantauan tahanan, dia turut mencadangkan supaya siaran langsung prosiding perbicaraan kes rasuah dipertimbangkan bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap proses kehakiman.

“Antara cadangan ialah membenarkan siaran langsung perbicaraan kes rasuah supaya orang ramai dapat mengikuti prosiding terbabit kerana sekarang ini banyak isu timbul apabila ada segelintir pihak memanipulasi apa yang sebenarnya berlaku di mahkamah melalui hantaran di media sosial.

“Bagi saya, jika pembaharuan ini dipersetujui, ia satu langkah yang sangat baik, menunjukkan ketelusan daripada pihak ,” katanya.

Sementara itu, Azam memaklumkan sebuah filem bertema antirasuah mungkin diterbitkan, dengan tiga penerbit sudah menyatakan minat untuk menghasilkan filem berkenaan.

“Kami sudah bertemu mereka dan memberikan beberapa contoh kes kami untuk diadaptasi, namun saya beritahu mereka, pelakon yang membintangi filem itu mesti bertaraf terbaik,” katanya.

Azam berkata jalan cerita dan plot filem berkenaan mestilah menarik serta tepat dalam menyampaikan mesej antirasuah.

“Saya beritahu mereka (penerbit) bahawa mereka mesti serius (menghasilkan filem ini). Filem itu mestilah membawa mesej antirasuah yang betul,” katanya.



Source link