Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan nama bekas pembantu Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak daripada dakwaan mempunyai kaitan dengan skandal perlombongan di Sabah.
Ini selepas siasatan mendapati tiada lesen penerokaan dikeluarkan kepada syarikat milik ahli perniagaan itu, jelas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Dia berkata kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara yang mendapati tiada sebarang pertuduhan boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak.
“Kes ini sudah pun ditutup,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya.

Azam memaklumkan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash pernah mengemukakan permohonan penerokaan mineral kepada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) pada Mac 2023 namun gagal menyerahkan dokumen yang diminta, menyebabkan permohonan itu ditamatkan pada Mac tahun ini.
Sebelum ini, portal MalaysiaNow mengaitkan Farhash dengan skandal lesen penerokaan mineral di Sabah, termasuk memuat naik rakaman audio yang didakwa menunjukkan Ketua Menteri Hajiji Noor menyatakan sokongan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash.
Lembaga Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), yang dipengerusikan Hajiji, kemudian menafikan bahawa mana-mana syarikat yang dikaitkan dengan Farhash telah diberikan lesen penerokaan di negeri itu.
MalaysiaNow juga sedang disiasat polis susulan aduan yang dibuat oleh SMM.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Sept lalu menolak permohonan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bersama dua plaintif lain bagi mendapatkan perintah injunksi terhadap portal berita MalaysiaNow berhubung artikel berkaitan skandal perlombongan di Sabah.
Sebelum itu, Farhash bersama dua individu lain memfailkan saman fitnah pada 21 Ogos lalu, terhadap MalaysiaNow dan Rahman, serta menuntut ganti rugi RM10 juta berhubung artikel berkaitan skandal perlombongan di Sabah.
Dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini menunjukkan saman itu difailkan oleh firma guaman Messrs Ahmad Deniel, Ruben & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Julai.
Farhash bersama Bumi Suria Sdn Bhd (Bumi Suria) dan Mohd Aminudin Mustapha menamakan MNow Sdn Bhd serta Rahman sebagai defendan.
Farhash dan Aminudin merupakan pengarah syarikat Bumi Suria.
Selain RM10 juta, plaintif turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi punitif.
Mereka juga memohon perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf penuh dan tanpa syarat di portal berkenaan, faedah lima peratus setahun, serta remedi lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Mereka juga menuntut defendan memadam artikel-artikel berkenaan dari laman MalaysiaNow, selain memfailkan permohonan injunksi segera bagi menghalang portal itu daripada mengeluarkan semula artikel yang didakwa berunsur fitnah.
Dalam afidavit sokongan, plaintif mendakwa artikel berkenaan mencemar reputasi bekas setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu sebagai tokoh awam terkenal dan dihormati, serta menjejaskan kerjaya dan hubungan perniagaan Aminudin.
Artikel itu, kata plaintif, menggambarkan seolah-olah mereka menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan lesen perlombongan secara haram.