PARLIMEN | Kementerian Pengangkutan mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menyiasat projek Aerotrain bernilai RM456 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) susulan rungutan berterusan terhadap masalah kebolehpercayaannya.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata SPRM sebagai badan bebas boleh menjalankan siasatan terhadap mana-mana syarikat berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurut Loke projek Aerotrain kini masih dalam tempoh tanggungan kecacatan selama dua tahun, dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang melaksanakan pelan tindakan bagi menstabilkan sistem berkenaan.
“Projek Aerotrain ini dibiayai sepenuhnya oleh MAHB dan tidak melibatkan dana kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis di parlimen semalam.
“Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) bertindak sebagai badan pengawal selia.
“Dalam hal ini, Apad telah membuka kertas siasatan terhadap MAHB berhubung gangguan perkhidmatan yang berlaku,” tambahnya.
Pada 28 Okt lalu, penumpang Aerotrain KLIA terpaksa berjalan di atas landasan selepas tren yang mereka gunakan mengalami kerosakan.
Loke menjawab pertanyaan Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta kerajaan menetapkan tempoh masa bagi pemulihan penuh perkhidmatan Aerotrain, sambil menegaskan kerosakan berulang telah menjejaskan imej KLIA sebagai lapangan terbang antarabangsa bertaraf dunia.
Shahidan turut bertanya sama ada SPRM akan campur tangan atau tidak untuk menyiasat isu berkenaan.
Menjawab soalan itu, Loke berkata lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB menetapkan syarat bahawa syarikat itu mesti memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan.
“Di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, bagi setiap pelanggaran syarat lesen, pengendali boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.
Dia menambah, sehingga 21 Sept lalu, seramai 4.5 juta penumpang telah menggunakan perkhidmatan Aerotrain di KLIA dengan jarak perjalanan keseluruhan sekitar 34,000 kilometer.
Pada 29 Okt, Loke berjanji untuk mengambil “tindakan tegas” bagi memastikan MAHB bertanggungjawab terhadap gangguan perkhidmatan Aerotrain di KLIA, selain menggesa syarikat itu menuntut penjelasan daripada kontraktor yang terlibat.
Dia turut menyuarakan rasa marah dan kecewa dengan insiden yang memaksa penumpang berjalan di atas landasan selepas tren rosak.
Aerotrain yang menghubungkan bangunan terminal utama dengan bangunan satelit di Terminal 1 KLIA itu menghadapi beberapa gangguan sejak kembali beroperasi pada Julai, selepas kerja naik taraf siap pada 30 Jun.






