SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) hanya akan dihormati apabila mereka berani bertindak tanpa takut atau pilih kasih kepada kuasa, kata Muda hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan AGC membersihkan ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador daripada sebarang salah laku yang dikaitkan dengan skandal penerokaan mineral di Sabah.

Biro politik parti itu berkata, selagi institusi berkenaan dilihat menjadi alat untuk mencuci nama kroni politik, keyakinan rakyat terhadap negara ini akan terus hancur.
“Inilah punca rakyat melihat keputusan ‘tiada kes’ ini sebagai satu lagi episod ‘cuci tangan’ untuk menyelamatkan orang dalam jaringan kuasa politik kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata kes melibatkan Farhash – bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim – telah ditutup kerana, antaranya, tiada isu tadbir urus.
Azam berkata kertas siasatan telah diserahkan kepada AGC yang mendapati tiada sebarang pertuduhan boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak.

Pada 21 Julai lalu, portal MalaysiaNow mengaitkan Farhash dengan skandal lesen penerokaan mineral di Sabah, termasuk memuat naik rakaman audio yang didakwa menunjukkan Ketua Menteri Hajiji Noor menyatakan sokongan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan bekas pembantu Anwar itu.
Lembaga Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), yang dipengerusikan Hajiji, kemudian menafikan bahawa mana-mana syarikat yang dikaitkan dengan Farhash telah diberikan lesen penerokaan di negeri itu.
Farhash turut menolak laporan itu sebagai palsu, menghantar surat tuntutan kepada MalaysiaNow serta membuat laporan polis terhadap portal tersebut.
Sejak itu, SMM dan ketua pegawai eksekutifnya Natasha Sim telah membawa perkara itu ke mahkamah bagi mendapatkan perintah larangan (gag order) terhadap MalaysiaNow dan editornya, Abdar Rahman Koya, berhubung artikel yang dipertikaikan.

Sementara itu, Muda turut membangkitkan kenyataan Azam hari ini yang mengesahkan bahawa syarikat dikaitkan dengan Farhash telah diberikan “kelulusan bersyarat” oleh SMM pada Mac 2023, tertakluk kepada syarikat itu mengemukakan dokumen diperlukan.
Parti itu mempersoalkan bagaimana syarikat berkenaan boleh mencapai tahap tersebut tanpa mengemukakan dokumen.
“Bagaimana syarikat yang gagal menyerahkan dokumen boleh sampai ke tahap itu? Mengapa pintu begitu mudah terbuka kepada syarikat yang rapat dengan bekas orang kanan perdana menteri?” soal Muda.
Muda juga menekankan bahawa Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 September lalu telah menolak permohonan injunksi Farhash terhadap MalaysiaNow.
“Jika reputasinya benar-benar sudah bersih, mengapa masih berusaha keras menutup mulut media dengan saman RM10 juta?
“Apa sebenarnya yang cuba dilindungi?” soal Muda lagi.