Malaysia Oversight

Speaker Perlis serah notis kekosongan luar jangka tiga DUN kepada SPR

By TheSun in December 29, 2025 – Reading time 2 minute
Speaker Perlis serah notis kekosongan luar jangka tiga DUN kepada SPR


Speaker DUN Perlis serahkan notis rasmi kekosongan luar jangka kerusi Chuping, Bintong dan Guar Sanji kepada SPR untuk pertimbangan PRK

KANGAR: Notis pemakluman rasmi kekosongan luar jangka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuping, Bintong dan Guar Sanji telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan berkata notis berkenaan diserahkan di Pejabat SPR Perlis kira-kira 12 tengah hari.

Beliau berkata notis itu turut memaklumkan SPR mengenai alasan keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di ketiga-tiga DUN berkenaan.

“Saya menyerahkan semuanya kepada pertimbangan pihak SPR,” katanya kepada pemberita.

Pada sidang media 25 Dis lepas, Rus’sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka tiga kerusi DUN itu susulan keahlian Chuping Saad Seman, Bintong Fakhrul Ismail dan Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim dalam terhenti serta-merta.

Keahlian terhenti itu adalah selaras Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Perlis.

Rus’sele berkata walaupun usia DUN Perlis telah genap tiga tahun pada 18 Dis lalu, negeri berpandangan terdapat keperluan mengadakan PRK.

PRK diperlukan bagi mengisi kekosongan ketiga-tiga kerusi itu demi kestabilan negeri.

Pada 24 Dis lalu, Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan keahlian tiga ADUN itu terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan (Pindaan 2025).

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional (PN) memenangi 14 kerusi DUN di Perlis.

Kemenangan itu terdiri daripada sembilan kerusi PAS dan lima Bersatu, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi satu kerusi menerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Indera Kayangan.



Source link