Malaysia Oversight

Speaker Dewan Rakyat nasihat ahli parlimen elak isu kecil dalam sidang

By TheSun in August 28, 2025 – Reading time 1 minute
Speaker Dewan Rakyat nasihat ahli parlimen elak isu kecil dalam sidang


KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menasihati Ahli-Ahli Parlimen supaya tidak membangkitkan isu-isu kecil pada sidang dewan jika ia tidak bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ini selepas Ahli Parlimen Kulai yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching membangkitkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang mempersoal pakaian Ahli Parlimen wanita ketika sidang Dewan Rakyat.

“Saya nasihatkanlah, benda-benda kecil macam ini, selagi ia tidak bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat, saya rasa tidak patut dibangkitkan,” kata Johari ketika mempengerusikan sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Teo berkata pada Isnin lepas, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) menegur pakaian Datuk Seri Azalina Othman Said kerana tidak mempunyai kolar sewaktu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu membentangkan RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 bagi bacaan kali kedua.

“Kalau kita rujuk Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 41 (F) hanya cakap Ahli Parlimen wanita hendaklah memakai sama ada pakaian kebangsaan, sarung atau blaus berlengan panjang atau skirt dan sekurang-kurangnya paras lutut, tak sebut tentang kolar.

“Saya hari ini pakai baju leher V. Jadi, saya minta petua Speaker… sila bagi nasihat kepada Ahli Parlimen lelaki yang duduk di sana (pembangkang), janganlah selalu nak tunjuk atau ajar wanita bagaimana kita sepatutnya pakai,” katanya. – Bernama



Source link