Soundcore Nebula P1 Dilancarkan – Projektor Mudah Alih Dengan Pembesar Suara Boleh Tanggal
Amy Maizuraa
Soundcore telah melancarkan Nebula P1 iaitu sebuah projektor mudah alih yang direka untuk kegunaan luar. Peranti ini dilengkapi dengan pembesar suara boleh tanggal dan sesuai digunakan dalam pelbagai situasi seperti aktiviti perkhemahan, bersantai serta sesi permainan yang menyeronokkan.

Nebula P1 dilengkapi dengan sistem bunyi sekeliling 2.0 melalui dua pembesar suara boleh tanggal berkuasa 20W yang menghasilkan audio menyeluruh, serta boleh disesuaikan mengikut susunan pilihan pengguna. Ia juga menyokong resolusi 1080P bersama kecerahan 650 ANSI Lumens bagi memastikan paparan yang terang dan konsisten.

Nebula P1 direka dengan reka bentuk yang kompak dan ringan serta dilengkapi pemegang terbina. Ia menyokong paparan sehingga 180-inci dan menawarkan masa main balik pembesar suara sehingga 20 jam. Fokus automatik dan pembetulan keystone pula memastikan imej kekal selari walaupun projektor digerakkan. Gimbal terbina dengan sudut laras sehingga 130 darjah turut bantu menstabilkan paparan agar sentiasa jelas.

Nebula P1 dilengkapi dengan Google TV terbina yang menawarkan akses kepada lebih 400,000 rancangan termasuk sokongan rasmi untuk Netflix tanpa memerlukan dongle atau pemasangan tambahan. Ia turut disertakan bersama Anker SOLIX C300 DC Portable Power Station yang mampu membekalkan kuasa selama 3.5 hingga 3.7 jam.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






