Malaysia Oversight

‘Sorok bawah karpet’ – KP tak maksudkan kes seksual, buli

By MkiniBM in October 16, 2025 – Reading time 2 minute
'Sorok bawah karpet' - KP tak maksudkan kes seksual, buli


PARLIMEN | Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, tampil memperjelas kenyataan ketua pengarah kementeriannya yang sebelum ini mengakui kes buli dan salah laku seksual di sekolah telah lama “disimpan di bawah karpet.”

Ketika menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How (PH), di Dewan Rakyat hari ini, Fadhlina (PH–Nibong Tebal) berkata dia ingin “menjelaskan” maksud sebenar kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Azam Ahmad, yang dibuat pada 14 Oktober lalu.

“Bagaimana beliau (menyimpulkan) ‘sapu bawah karpet’. Maksud itu sebenarnya penjelasan adalah beliau tak bermaksud kes-kes disembunyikan,” katanya.

Sebaliknya, jelas Fadhlina, Azam (gambar bawah) menekankan bahawa memang wujud insiden di sekolah yang diketahui atau dimaklumkan kepada pihak berkaitan.

cd8b9ecac1e04cefa03e850a35f2c057

Kata Fadlina kes sebegini telah diadukan sama ada kepada guru, pentadbir sekolah, kaunselor, atau pegawai pendidikan di peringkat daerah dan negeri namun kes berkenaan dianggap kecil, tidak serius, atau bersifat sementara.

Dia mengakui bahawa tanggapan sedemikian menyebabkan langkah campur tangan sebelum ini mungkin terlalu ringan atau tidak menyeluruh.

“Itu yang sangat menggusarkan hati kami, kalau kes-kes seperti ini tidak diberikan perhatian dan kami tidak dapat melaksanakan siasatan dan intervensi menyeluruh.

“Menyebabkan sebahagian kes berlarutan sehingga menimbulkan implikasi yang lebih besar,” katanya.

Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan kini menekankan pelaksanaan pendekatan lebih tegas, sistematik dan berasaskan prosedur yang jelas bagi memastikan setiap insiden di sekolah ditangani dengan segera, profesional, dan tanpa kompromi terhadap keselamatan serta kebajikan murid.

Pada majlis pelancaran Program Kempen Anti Buli anjuran PDRM 14 Oktober lalu, Mohd Azam mengingatkan semua pihak untuk tidak cuba menyembunyikan sebarang insiden negatif melibatkan institusi pendidikan.

Hanya dalam tempoh tiga bulan selepas dilantik, Azam berkata dia mendapati banyak insiden negatif seperti gangguan seksual dan buli “disimpan di bawah karpet”.

Tegasnya semua insiden negatif mesti dilaporkan dan menjadi tanggungjawabnya mendedahkan perkara seumpamanya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Jika semua mahu disimpan dalam karpet, seolah-olah hanya perkara baik sahaja yang ada… tetapi hakikatnya ada sesuatu yang berlaku.

“Ini umpama duri dalam daging dan umpama bom atom yang hanya tunggu untuk meletup sahaja. Ia memang menyedihkan (kes negatif di sekolah) dan tiga bulan saya memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah, banyak data dalam gejala ini saya kutip,” katanya dipetik Berita Harian.

[Berita lanjut menyusul]



Source link