Sony Perjelaskan Langkah Susulan Untuk Mengelakkan Isu Xperia 1 VII Berulang
Amy Maizuraa
Sony mengumumkan bahawa mereka telah menyambung semula jualan telefon mercu terbaru mereka Xperia 1 VII. Sebelum ini, Sony menghentikan jualan buat sementara waktu kerana terdapat masalah teknikal yang menjejaskan sebilangan kecil peranti. Masalah tersebut menyebabkan telefon terputus bekalan kuasa atau tidak dapat dihidupkan langsung.

Sony telah menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca masalah yang menjejaskan peranti tersebut. Hasil siasatan mendapati kerosakan pada papan litar akibat suhu dan kelembapan melampau semasa pembuatan. Bagi mengatasinya, Sony menyemak semula piawaian pengeluaran dan menambah langkah kawalan suhu serta kelembapan untuk memastikan kualiti kekal stabil.

Sony turut memperkenalkan sistem pengurusan risiko baharu yang kini digunakan untuk unit gantian Xperia 1 VII dan akan diterapkan pada model-model akan datang bagi memastikan kualiti produk lebih konsisten. Syarikat itu juga komited memulihkan kepercayaan pelanggan melalui penambahbaikan berterusan dari segi kualiti dan inovasi.
Bagi yang berminat, Xperia 1 VII kini tersedia di Malaysia pada harga RM6,499. Pembelian awal turut disertakan dengan fon kepala Sony WH-1000XM6 bernilai RM2099 secara percuma sehingga 5 Oktober 2025.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.