Malaysia Oversight

Song Young-kyu meninggal dunia dalam kereta

By Utusan in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
Song Young-kyu meninggal dunia dalam kereta


SEOUL: Pelakon senior Korea Selatan, Song Young-kyu, 55, dikhabarkan meninggal dunia dalam kereta miliknya awal pagi tadi.

Menurut laporan, mendiang Young-kyu ditemui tidak bernyawa di kawasan Cheoin-gu, Yongin, yang terletak di wilayah Gyeonggi-do, Korea Selatan, oleh seorang kenalannya yang turut melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Dalam pada itu, jurucakap Balai Polis Yongin Dongbu mengesahkan bahawa tiada sebarang tanda kekerasan ditemui pada tubuh mangsa dan tiada surat bunuh diri dijumpai di lokasi kejadian.

Difahamkan, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian pelakon itu selain mempertimbangkan untuk melakukan bedah siasat.

Pemergian Young-kyu mengejutkan ramai pihak apatah lagi ketika mendiang masih terpalit dengan kontroversi undang-undang berkaitan kes memandu di bawah pengaruh alkohol (DUI).

Upacara memperingati mendiang Young-kyu diadakan di Davos Hospital Funeral Hall, Yongin diikuti proses pengebumian yang dijadualkan berlangsung pada 6 Ogos 2025.

Mendiang yang akan disemadikan di Hambaeksan Memorial Park meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak perempuan.

Untuk info, mendiang memulakan kerjaya lakonan pada tahun 1994 menerusi pementasan teater muzikal kanak-kanak sekali gus membuka peluang untuknya menjadi pelakon pembantu dalam pelbagai produksi besar.

Dia juga pernah membintangi pelbagai drama dan filem terkenal seperti Extreme Job, Stove League, Suriname dan Casino.

Namun pada Jun lalu, kerjaya Young-kyu mula terjejas selepas ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk sejauh kira-kira lima kilometer dari Giheung-gu ke Cheoin-gu.

Hasil ujian mendapati kadar alkohol dalam darahnya melebihi 0.08%, iaitu tahap yang membolehkan lesen memandu dibatalkan di Korea Selatan.

Meskipun tidak ditahan reman, kes tersebut diserahkan kepada pihak pejabat pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Susulan itu, rakan-rakan mendiang memaklumkan bahawa Young-kyu mengalami tekanan emosi yang berat sehingga menyebabkan kesihatan mentalnya merosot akibat kecaman netizen dan laporan negatif media. -UTUSAN





Source link