Walaupun berdepan prosiding mahkamah dan kritikan meluas, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh tetap bertegas meneruskan perjuangan menegakkan “maruah” Jalur Gemilang.
Berucap di hadapan penyokong yang berhimpun di luar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini, Adun Merlimau itu mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana menunjukkan solidariti terhadapnya.
“(Himpunan) solidariti ini bukan dengan saya tetapi untuk Jalur Gemilang kita. Saya akan ambil tanggungjawab sepenuhnya dan tak takut untuk hadapi (pendakwaan),” katanya disambut sorakan dan laungan takbir.
“Saya nak minta kepada semua rakyat, jangan takut untuk tegur apa-apa kesalahan (berkaitan Jalur Gemilang).
“Pertuduhan yang dikemukakan kepada saya bertujuan untuk takutkan anda (tetapi) percayalah, saya akan tanggung segala-galanya,” katanya lagi,
Mendakwa pertuduhan itu sebagai percubaan untuk intimidasi, Akmal mengingatkan pihak berkuasa agar jangan mengharapkannya untuk akur.
“(Bagi pihak yang mendakwa) untuk takut-takutnya saya…saya nak beritahu mereka, jangan mimpi saya akan takut,” katanya, sekali lagi disambut sorakan penyokongnya.

“Percayalah, ini akan jadi titik tolak kebangkitan rakyat untuk (tingkatkan rasa) sayangkan lambang negara kita ini. Percayalah, lambang negara ini bukan isu kecil, ia maruah kita semua sebagai rakyat Malaysia.
“Negara ini bukan (milik) saya seorang, bukan negara Melayu atau Cina sahaja – ini adalah negara kita semua sebagai rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Hari ini, Akmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang berkemungkinan menimbulkan kegentaran awam dan kegusaran awam.
Pertuduhan itu berkaitan satu hantaran Facebooknya yang tidak dinyatakan, dipercayai mengenai kemarahannya berhubung isu bendera terbalik.
Pertuduhan terhadpanya dibuat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selepas rayuan oleh pasukan pembelaannya yang terdiri daripada lapan peguam, yang semuanya ahli Pemuda Umno.
Mahkamah menetapkan 22 September bagi penyerahan dokumen.
Menurut pasukan peguamnya, pertuduhan itu adalah berkaitan video di Facebook yang dimuat naik Akmal pada 11 Ogos, yang menyeru tindakan diambil terhadap pemilik kedai perkakasan yang menggantung Jalur Gemilang secara terbalik di Kepala Batas, Pulau Pinang.